PETALING JAYA – Pelakon Janna Nick menganggap Anugerah Ikon Ekspresi Seni daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) sebagai penyuntik semangat untuk terus menghasilkan lebih banyak naskhah berkualiti.
Pemilihan yang meletakkannya bersama 12 penerima lain terdiri daripada aktor dan aktres hebat negara, secara tidak langsung disifatkan Janna sebagai penghargaan cukup bermakna untuk kerjayanya.
“Sejujurnya saya terharu dapat berada sebaris dengan nama besar dalam industri seni seperti seniwati Fauziah Nawi dan primadona alaf baharu, Erra Fazira yang bukan calang-calang figura.
“Sudah tentu pengiktirafan sebegini bukan sesuatu yang datang tanpa sebarang usaha, sebaliknya membuktikan kepercayaan pihak berkaitan terhadap kesungguhan kita memartabatkan industri seni.
“Bagi saya anugerah ini penghargaan yang cukup besar sekali gus mendorong anak seni serta karyawan seperti saya melipatgandakan usaha tampil bersama produk terbaik,” katanya.
Tambah Janna atau nama sebenarnya Nurul Jannah Muner, 27, pengiktirafan tersebut sekali gus menyuntik semangatnya untuk terus memartabatkan industri perfileman tanah air.
“Apa pun, tidak kira besar atau kecil sesuatu anugerah, ini tetap pengiktirafan yang penuh makna,” katanya selepas majlis penyampaian anugerah, semalam.
Penyerahan sijil yang diadakan bersempena majlis penutup program Ekspresi@Finas di Kompleks Finas, Hulu Kelang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hadir sama Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi Finas, Senator Datuk Seri Zurainah Musa dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Dr. Md. Nasir Ibrahim.
Janna yang juga pemilik Janna Nick Studios berharap lebih ramai penggiat industri seni mendapat pengiktirafan yang diyakini semakin memperkasakan arena ini.
Selain Janna, penerima lain ialah pengarah, Syamsul Yusof, produser, A. Aida, aktor, Datuk Adi Putra serta penerbit merangkap pengarah, Adrian Teh. – KOSMO! ONLINE