MANCHESTER – Pengendali Manchester City, Pep Guardiola mengakui Erling Haaland terhutang budi dengan bekas kelabnya, Borussia Dortmund menjelang pertemuan kedua-dua pasukan pada aksi Liga Juara-Juara awal pagi esok.
The Citizens yang sudah mengesahkan tiket ke peringkat 16 terbaik musim ini perlu merekodkan kemenangan sekiranya mahu menamatkan kempen Kumpulan G selaku juara.
Aksi menentang Dortmund nanti turut menyaksikan kepulangan semula Haaland yang menjaringkan 86 gol dalam 89 penampilan bersama Dortmund ke Signal Iduna Park sejak berhijrah ke City pada Jun lepas.
Kata Guardiola, sambutan yang bakal diberikan oleh penyokong kelab Bundesliga itu pasti ‘istimewa’ memandangkan Haaland merupakan ayam tambatan pasukan sejak tiga musim lalu.
“Haaland adalah pemain yang bagus serta tidak pernah menimbulkan masalah dalaman. Saya jangka dia akan disambut baik oleh penyokong tuan rumah seperti ketika beraksi menentang Red Bull Salzburg sebelum ini.
“Secara peribadi, saya anggap keputusan dia untuk berhijrah ke Dortmund adalah tepat kerana pasukan itu memberi ruang dan peluang buatnya membuktikan kemampuan di peringkat tertinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, Guardiola turut berharap agar naluri pemusnah penyerang antarabangsa Norway itu berterusan selepas meledak 22 gol dalam semua kejohanan sebelum ini.
“Saya mahu Haaland kekal konsisten. Saya telah bekerja dengan ramai penyerang terbaik dunia seperti Samuel Eto’o, Lionel Messi, Robert Lewandowski, Thomas Muller serta Sergio Aguero dan kekuatan utama mereka adalah kekal konsisten,” katanya. – AGENSI