PARIT BUNTAR – Mangsa pergaduhan berkaitan baja di Kampung Parit Tok Ngah, Tanjung Piandang di sini semalam sering bercakap soal kematian dan hari pembalasan kepada rakan-rakannya.
Menurut rakan karib Allahyarham Mahadzeb Salleh, 47, iaitu Isma Alif Ishak, 35, mangsa sering menasihatkan kawan-kawannya berkaitan perkara berkenaan sejak dua minggu lalu.
“Memang agak terkejut ketika terima perkhabaran mengatakan arwah meninggal dunia selepas terjadinya pergaduhan antaranya dengan suspek.
“Dua minggu lalu, apabila jumpa dengannya sahaja mesti akan bercerita tentang mati. Pesannya, hidup bukanlah untuk menongkat langit ataupun bersuka-ria tetapi harus gigih membuat amal ibadat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Isma, mangsa hanya membuat kerja kampung seperti bersawah, mengait sawit serta membuat meja kayu untuk dijual mengikut tempahan dan mengambil upah tukang rumah.
Tambahnya, dia berasa amat terkilan atas apa yang menimpa rakan karibnya itu namun berserah dan reda kepada ketentuan Allah S.W.T.
Sementara itu, anak mangsa, Nur Izzati, 15, berkata, arwah bapanya sering berpesan agar sentiasa menjaga solat dan menunaikannya tepat pada waktunya. – KOSMO! ONLINE