PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan keadaan cuaca yang agak lembap akan berlaku hampir kesemua negeri di Semenanjung dan juga Sabah dan Sarawak pada hari ini.
MetMalaysia dalam laporan cuacanya berkata, ia kerana berlakunya penumpuan angin di kawasan negara pada ketika ini.
“Berdasarkan imej satelit, pada pagi ini kebanyakan negeri dalam keadaan yang agak cerah terutamanya di bahagian selatan Semenanjung Malaysia dan juga di Sabah dan Sarawak, tetapi di bahagian utara dan juga di bahagian barat di Sarawak buat masa kini dalam keadaan yang agak mendung.
“Manakala, hujan di satu dua tempat yang berlaku di bahagian Pantai Timur melibatkan Kelantan dan Terengganu semakin beransur reda,” katanya di sini hari ini.
Bagaimanapun katanya pada petang ini, hujan berserta ribut petir dijangkakan masih lagi berpotensi untuk berlaku di hampir kesemua negeri.
“Tetapi, di Semenanjung Malaysia ia akan lebih tertumpu di bahagian pedalaman utara dan juga selatan yang mana hujan akan mula terbentuk di bahagian pedalaman di sekitar Banjaran Titiwangsa dan seterusnya ia akan bergerak ke arah selatan.
“Jadi, di bahagian pedalam Negeri Sembilan, Melaka dan juga Johor akan mengalami hujan di beberapa tempat begitu juga di bahagian utara yang melibatkan pedalaman Kedah dan juga Perak serta di Kelantan,” ujarnya.
Sementara itu di Sabah, hujan berserta ribut petir akan berlaku di semua bahagian secara amnya begitu juga di bahagian pedalaman Sarawak.
“Di persisiran pantai Sarawak masih lagi boleh berlaku hujan, tetapi kebarangkaliannya agak rendah jika berbanding dengan bahagian-bahagian lain.
“Jadi, orang ramai dinasihatkan sentiasa peka dan juga cakna dengan sebarang amaran serta amaran dikeluarkan oleh MetMalaysia,” ujarnya.
Sementara itu, MetMalaysia berkata, rantau negara masih lagi menerima pengaruh angin dari pelbagai hala dengan kelajuan yang agak sederhana sekitar 20 hingga ke 30 kilometer sejam dan buat masa kini tiada amaran angin kencang atau laut bergelora.
“Bagaimanapun, pada 27 Oktober nanti MetMalaysia telah mengeluarkan amaran angin kencang serta laut bergelora kategori pertama di kawasan perairan laut Cina Selatan melibatkan beberapa bahagian di kawasan bahagian Condore, Reef North dan Layang-layang.
“Dalam tempoh itu sehingga ke 30 Oktober, angin bertiup dengan agak kencang sekitar 40 hingga ke 50 kilometer sejam dan ketinggian ombak juga boleh mencapai 3.5 meter. Keadaan ini berbahaya kepada bot-bot kecil serta sukan dan rekreasi laut,” tambahnya.
Justeru katanya, orang ramai khususnya kepada nelayan diharapkan tidak turun ke laut dalam tempoh itu. – KOSMO! ONLINE