JAKARTA – Seorang wanita di Indonesia mengamuk selepas mendapati jirannya memotong rambut adiknya tanpa kebenaran sehingga membuatkan kanak-kanak itu dibuli rakan-rakan, lapor laman berita Berita Hits hari ini.
Berdasarkan video yang dikongsikan di laman Instagram, wanita tersebut dilihat memarahi seorang warga emas iaitu jiran yang memotong rambut adiknya.
Melihatkan keadaan rambut adiknya, wanita tersebut berasa marah kerana ibu mereka juga tidak menyukai kejadian itu.
“Mempunyai jiran yang sesuka hati memotong rambut anak orang tanpa keizinan,” demikian menurut keterangan pada video yang dimuat naik.
Wanita tersebut dilihat amat marah, namun jirannya dalam keadaan bersahaja meminta maaf atas perbuatannya.
“Berasa amat kesal dan sakit hati selepas lihat rambut adik saya dipotong pada awalnya. Buat pengetahuan, saya telah bawa dia ke salun kerana keadaan rambut itu pada awalnya amat teruk,” kata wanita tersebut.
Tambah wanita berkenaan, adiknya masih menangis walaupun rambutnya telah dirapikan di salun.
Kanak-kanak itu juga dikatakan menjadi mangsa buli rakan-rakannya yang mengejek rambutnya seperti patung dalam siri Netflix popular, Squid Game.
Video itu menjadi tular dan menerima pelbagai komen.
“Salah jirannya. Kenapa sesuka hati potong rambut, sepatutnya minta izin dahulu. Kenapa dia potong rambut (kanak-kanak tersebut), apa masalah dia?” kata seorang netizen.
“Kasihan kanak-kanak itu dia boleh jadi trauma,” kata seorang lagi netizen. – Agensi