LONDON – Seorang wanita di Britain berkongsi kesukaran dalam usaha untuk mendapatkan anak, namun mendakwa bahawa hidupnya musnah setelah dia melahirkan seorang bayi, lapor portal berita MailOnline semalam.
Selepas putus cinta pada usia 35 tahun Alice Mann (bukan nama sebenar) bimbang hidupnya akan menjadi sebatang kara lantas membuat keputusan untuk membekukan sel telurnya pada usia 36 tahun.
Alice masih membujang pada usia 40 tahun sebelum bertemu seorang lelaki yang dianggapnya secocok. Mereka menghadapi episod kehamilan dan keguguran sebelum memutuskan untuk mendapatkan penderma sel telur dan menjalani rawatan Persenyawaan in Vitro (IVF).
Pada usia 44 tahun, Alice akhirnya hamil dan melahirkan anak lelakinya menerusi kaedah pembedahan Caesarean Section (C-Sect).
Apabila mendukung bayinya, Alice tidak merasai perasaan kasih sayang seperti kebanyakan wanita yang baru menjadi ibu. Selepas empat minggu bayinya lahir, Alice hanya merasai kehampaan dan kesengsaraan setiap kali menatap anaknya menangis.
Dia kemudian berasa bersalah kerana memiliki perasaan demikian dan sedar masih ramai wanita yang ingin memiliki anak.
Menurut ahli psikologi bertauliah dan pakar keibubapaan, Catherine Hallissey perasaan wanita itu bukanlah luar biasa seperti yang difikirkan.
Hallisey percaya gabungan faktor kekurangan tidur kronik dan kehilangan identiti yang dirasai oleh ramai wanita berkerjaya apabila mereka mempunyai anak, menyumbang kepada ramai ibu baharu mendapat perasaan sedemikian.
“Saya benar-benar merasakan bahawa mereka kekurangan sokongan daripada ibu dan nenek,” katanya. – Agensi