SEPANG – Bekas pelumba Moto2 negara, Kasma Daniel Kasmayudin mengakui tidak mudah beraksi di pentas Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) tetapi yakin Syarifuddin Azman mampu melakukan terbaik selepas aksi cemerlangnya dalam Kejuaraan Dunia JuniorGP.
Syarifuddin yang mesra disapa Damok bakal menyertai saingan Moto3 bersama pasukan MTHelmets-MSi dari Sepanyol pada musim depan.
Kasma yang pernah beraksi dalam kelas Moto2 pada 2020 berpendapat, Syarifuddin harus mempersiapkan diri dari segi fizikal dan mental kerana persaingan di pentas berprestij itu amat mencabar.
“Untuk Damok, Kejuaraan Dunia ini adalah pentas yang amat tinggi dan tak sama seperti perlumbaan biasa. Saya harap Damok akan lebih tabah, kental dan kuat fizikal serta mental.
“Kejuaraan Dunia ini adalah persaingan antara pelumba terbaik di dalam dunia. Jadi Damok adalah pelumba terbaik dalam Malaysia, tahniah untuknya. Perlumbaan Moto3 ini agak ‘keras’ dan begitu mencabar,” kata Kasma yang mempunyai julukan nama Dragon Boy.
Bagi saingan JuniorGP musim ini, Damok sudah mengumpul 110 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan selain menyertai empat perlumbaan Kejuaraan Dunia atas tiket wildcard termasuk Grand Prix (GP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang semalam.
“Apa yang kita dapat lihat ketika di CEV (sekarang JuniorGP), memang dia agak bagus dan berada dalam kelompok 10, lima terbaik dan juga podium.
“Bagi saya, dia layak ke Kejuaraan Dunia pun bukan secara mendadak. Dia ke sana secara peringkat dan mengikuti program yang agak baik.
“Dia seorang anak didik Zulfahmi Khairuddin dan apa yang dia ikut itu betul. Bagi saya, dia berada di landasan yang betul dan memang layak untuk dia berada di pentas dunia,” kata Kasma. – KOSMO! ONLINE