MANILA – Beberapa rakaman menunjukkan pelajar sebuah kolej di Filipina memakai alat digelar ‘topi antimenipu’ menjadi tular di media sosial dan dianggap lucu oleh ramai netizen, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Pelajar kolej di Bandar Legazpi itu menghasilkan pelbagai jenis ‘topi’ selepas diminta oleh pensyarah mereka untuk memakai apa sahaja penutup kepala dan sisi muka bagi menghalang mereka mengintai jawapan pelajar lain.
Ramai pelajar menghasilkan topi tersebut yang diperbuat daripada kadbod, kotak telur dan bahan kitar semula lain.
Profesor Kejuruteraan Mekanikal di Kolej Universiti Kejuruteraan Bicol, Mary Joy Mandane-Ortiz memberitahu BBC bahawa beliau mencari kaedah lucu untuk memastikan pelajar kelasnya memiliki integriti dan kejujuran ketika menjawab peperiksaan.
Kata Mary, idea tersebut terbukti berkesan.
Ia dilaksanakan ketika peperiksaan pertengahan semester yang diduduki oleh beratus-ratus pelajar pada minggu ketiga bulan ini.
Menurut Ortiz, dia mendapat inspirasi daripada teknik yang sebelum ini dilaporkan digunakan di Thailand beberapa tahun lalu. – Agensi