fbpx

Pearly tak kecewa tumbang kepada juara dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PEARLY (kanan) dan Thinaah tewas rubber-set kepada juara dunia dari China di pusingan kedua Terbuka Denmark di Odense baru-baru ini. - BADMINTON PHOTO

KUALA LUMPUR – Pemain beregu wanita negara, Pearly Tan mengakui tidak terlalu kecewa meskipun dia dan M. Thinaah tersingkir di pusingan kedua pada Kejohanan Badminton Terbuka Denmark di Odense baru-baru ini.

Sebaliknya, pemain berusia 22 tahun itu berbangga kerana mereka dapat memberi tentangan sengit kepada juara dunia dari China, Chen Qing Chen-Jia Yi Fan sebelum tewas dalam aksi rubber-set 18-21, 22-20, 17-21.

Pearly juga menyatakan rasa syukur apabila kecederaan lutut yang dialami bulan lalu sudah pulih sepenuhnya, sekali gus membolehkan dia kembali menampilkan permainan agresif seperti biasa.

“Saya sangat gembira serta bersyukur kerana dapat kembali ke gelanggang dalam tempoh yang singkat dengan kondisi yang cukup baik. Kecederaan sebelum ini memang tidak beri sebarang masalah kepada saya.

“Sudah tentu saya menikmati perlawanan tersebut kerana dapat bersaing dengan juara dunia. Bagaimanapun, masih ada banyak benda yang perlu diperbaiki, terutamanya dari segi strategi ketika mata penting,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.

Penyertaan pada kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 750 itu boleh dijadikan sebagai aksi pemanas badan terbaik buat Pearly-Thinaah menjelang saingan Terbuka Perancis di Paris bermula esok hingga 30 Oktober ini.

“Saya harap dapat menampilkan aksi lebih bagus berbanding kejohanan ini pada Terbuka Perancis nanti. Kami hanya mahu fokus satu demi satu perlawanan dan cuba mara sejauh mungkin,” ujar Pearly.

Sebagai rekod, beregu yang berada pada ranking ke-11 dunia itu menampilkan aksi konsisten musim ini apabila melangkah ke separuh akhir Terbuka Thailand, Indonesia Masters serta Malaysia Masters. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI