PETALING JAYA – Penyerang berpengalaman, Norshahrul Idlan Talaha belum terdetik untuk menggantung but daripada kancah bola sepak profesional meskipun bakal berusia 37 tahun musim depan.
Pemain yang mesra dengan gelaran Mat Yo itu juga masih bersemangat tinggi untuk mencurah bakti pada kempen Liga Malaysia (Liga M) musim depan meskipun dibelenggu konflik gaji sejak mewakili Melaka United awal tahun ini.
Norshahrul mengakui, keinginannya masih membara untuk membuktikan yang terbaik di peringkat tertinggi selain turut menaruh harapan untuk menyarung jersi Harimau Malaya.
“Saya masih mahu untuk bersama skuad kebangsaan sekiranya mendapat panggilan. Kalau diberi peluang sudah tentu saya akan berikan yang terbaik dan masih boleh bantu pasukan kebangsaan.
“Namun, semua itu saya serahkan kepada jurulatih untuk buat keputusan. Seperti kita tahu sekarang ini dengan masalah Melaka United, jadi agak susah untuk saya tunjuk prestasi yang sebenar kerana tidak beraksi di Piala Malaysia.
“Jika ditanya mengenai perancangan musim depan, saya masih lagi mahu bermain (tidak bersara) tetapi hala tuju masih belum diputuskan,” katanya ketika ditemui di program klinik bola sepak sempena Piala AFF 2022 di Petaling Jaya pada Sabtu lalu.
Sebagai rekod, Norshahrul yang mula mewakili Malaysia sejak 2007 telah mengumpul 81 kaps antarabangsa selain berjaya menyumbat 14 gol sepanjang kariernya bersama Harimau Malaya.
Karier bekas penyerang Bangkok Glass Pathum di Thailand itu bersama Melaka United seperti sudah berakhir selepas skuad Sang Kancil tidak dibenarkan beraksi di pentas Piala Malaysia musim ini berikutan isu tunggakan gaji. – KOSMO! ONLINE