PUTRAJAYA – Lima produk ubat sirap yang dilapor menyebabkan kematian hampir 100 kanak-kanak di Indonesia dilaporkan tidak berdaftar di negara ini.
Produk itu adalah Termorex Sirup, Flurin DMP Sirup, Unibebi Cough Sirup, Unibebi Demam Sirup dan Unibebi Demam Drops.
Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi Kementerian Kesihatan (KKM), Norhaliza A Halim berkata, semakan ke atas pangkalan data produk berdaftar Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) KKM mendapati bahawa kelima-lima produk tersebut tidak berdaftar di Malaysia.
“KKM mengambil maklum artikel di dalam laman sesawang sebuah portal berita bertajuk ‘Indonesia bans medicinal syrups after 99 child deaths’ yang diterbitkan pada 20 Oktober.
“Semakan lanjut ke atas laman sesawang Badan Pengawas Obat dan Makanan-Republik Indonesia, www.pom.go.id mendapati artikel tersebut merujuk kepada lima produk sirap yang dikesan mengandungi ethylene gycol melebihi had yang dibenarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Justeru katanya, NPRA akan menjalankan pemantauan secara berterusan bagi memastikan kualiti, keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan terjamin.
Tambahnya, KKM juga akan memaklumkan perkembangan kepada orang ramai dari semasa ke semasa. – KOSMO! ONLINE