fbpx

Lemas Tasik 3 Beradik: Mangsa sempat sambut hari jadi ibunya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANGGOTA bomba mengangkat mayat remaja yang lemas ketika mandi di Tasik 3 Beradik, Seri Alam, Pasir Gudang, Johor hari ini.

JOHOR BAHRU – Remaja yang ditemui mati lemas ketika mandi-manda di Tasik Tiga Beradik, Seri Alam, di sini sempat meraikan hari lahir ibunya, malam semalam.

Zulkarnain Mohd. Ali, 46, berkata, anak sulungnya, Mohd. Aidil Haiziryn Zulkarnain, 15, turut menitipkan ucapan selamat hari lahir serta mengucup pipi ibunya, Norhaliza Hussin, yang menjangkau usia 43 tahun.

Katanya, dia amat terharu detik manis itu adalah yang terakhir kalinya setelah anak lelakinya itu pergi buat selamanya hari ini.

ZULKARNAIN MOHD. reda dengan pemergian anak sulungnya yang ditemui mati lemas ketika mandi-mandi di Tasik 3 Beradik, Seri Alam, Pasir Gudang, Johor hari ini.

“Semalam, arwah ada ucapkan selamat hari lahir buat ibunya yang menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-43.

“Bukan itu saja, arwah juga turut memberikan ciuman kepada isteri. Tak sangka itu adalah yang terakhir,” katanya kepada pemberita hari ini.

Pagi tadi, Mohd. Aidil Haiziryn ditemui mati lemas manakala seorang lagi rakannya terselamat, selepas dipercayai mandi di tasik berkenaan.

Terdahulu, kedua-dua remaja terbabit dikatakan bersama empat lagi rakan sekolah mereka termasuk dua perempuan dipercayai melakukan aktiviti mendaki di kawasan berkenaan sebelum memutuskan untuk mandi di tasik terbabit.

Zulkarnain berkata, arwah yang merupakan anak sulung daripada tiga beradik itu gemar melakukan aktiviti mendaki dan kerap ke kawasan itu bersama rakan-rakannya.

Malah, katanya, arwah yang juga pelajar Tingkatan Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan Nusa Damai itu turut memintanya menghantar ke lokasi terbabit namun terpaksa menolak kerana urusan lain.

“Saya tahu dia mahu pergi ke sana bahkan minta saya menghantarnya. Memandangkan ada urusan lain, dia menumpangkan kereta bapa rakannya. Saya tak sangka ini yang terjadi,” katanya yang memberitahu arwah tidak pandai berenang.

Katanya, anak sulung daripada tiga beradik itu seorang yang peramah, pemalu dan menghormati orang tua.

“Sebelum dia pergi, tidak ada nampak perubahan pada dirinya. Dan dia juga mendengar kata, kalau saya tak benarkan, dia akan patuh,” katanya.

Arwah dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Cahaya Masai esok setelah selesai bedah siasat di Hospital Sultan Ismail (HSI), di sini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI