fbpx

Fakulti Kaki Lima untuk penggemar muzik 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PROGRAM Fakulti Kaki Lima yang mengetengahkan ilmu muzik bakal disajikan terutamanya buat penggemar alunan melodi dalam saluran YouTube Funky Brigade Music bermula 25 Oktober (esok).

PETALING JAYA – Sebuah program berjudul Fakulti Kaki Lima yang mengetengahkan hiburan dan ilmu muzik bakal disajikan terutamanya buat penggemar alunan melodi dalam saluran YouTube Funky Brigade Music bermula 25 Oktober nanti (esok) 

Rancangan yang membincangkan asas teori muzik dalam konsep kapsul berdurasi 15 minit tersebut akan disiarkan sebanyak 52 kapsul. 

Penerbit dan pengarah projek tersebut, Shamsul Cairel Abdul Karim berkata, program hasil  cetusan ideanya itu bebas untuk para penggemar muzik yang berminat untuk mengetahui tentang muzik dengan lebih lanjut. 

“Projek ini merupakan ‘edutainment’ yang mana kami menggabungkan elemen pembelajaran dan hiburan dalam sebuah program khas buat pemuzik-pemuzik bebas serta orang ramai yang tidak mampu meneruskan pembelajaran teori muzik di kolej atau universiti dan terbuka kepada semua peminat muzik umumnya.

KUMPULAN Zip Zieller semasa rakaman untuk kapsul program Fakulti Kali Lima.

“Idea dan konsep yang saya hasilkan ini pada mulanya agak biasa tetapi selepas dibantu oleh MK Ridzuan dan Prof. Madya Khairil Anwar Dean yang bertungkus lumus menyiapkan modul pembelajaran, barulah saya mampu menghasilkan skrip program ini,” ujar Shamsul.

Sementara itu, pembelajaran program itu akan dipimpin oleh graduan muzik dari UiTM yang juga merupakan anggota kumpulan muzik Sekumpulan Orang Gila (S.O.G), MK Ridzuan serta modulnya diolah oleh Prof. Madya Khairil Anwar Dean dari Universiti Malaysia Kelantan.

Sebanyak 10 buah kumpulan pemuzik bebas turut serta dalam menghasilkan program berkenaan termasuklah, Late Night Frequency yang merupakan pemenang Anugerah Industri Muzik (AIM23) untuk kategori Lagu Pop Elektronik/ Dance Terbaik) dan Kazim Band iaitu juara Battle Of The Band Last Lap, Ipoh. 

Kumpulan lain yang turut terlibat adalah Merchants Of Mercury, Zip Zieller, Frost Revenge, Syakir & The Rombongan, Armpunk Sindicate dan lain lagi. 

MK RIDZUAN, anggota kumpulan SOG terlibat sebagai antara pengajar dalam Fakulti Kaki Lima.

Turut mendapat bantuan Dana Kandungan Digital Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Fakulti Kaki Lima yang menjalani rakaman di studio FunkyBrigade Mediaworks Sdn. Bhd. di Desa Melawati, melibatkan semua kumpulan muzik membuat persembahan secara siaran langsung. Segala kerja teknikal dan pasca produksi dikendalikan oleh Resap Jilma Collective. 

“Saya berbangga dengan team produksi dan semua band yang terlibat kerana kesungguhan mereka untuk menjayakan program ini. 

“Brotherhood yang wujud antara perkumpulan anak-anak indie ini memang seronok dan barang ini sudah makin hilang dalam ‘mainstream’,” tambah Shamsul yang juga merupakan Pengarah Kreatif untuk Konsert UK’s Reunion dan program Salam Dari Maya yang kini dalam musim kedua.

Dalam perkembangan lain, Shamsul juga baharu selesai mengarahkan dua buah video muzik untuk kumpulan ARiA dan satu video muzik untuk Dr. Kronik Friends .- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI