CHERAS – Sebanyak enam buah kereta musnah terbakar dalam kejadian kebakaran melibatkan kenderaan di sebuah kondominium di Desa Petaling, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis (IPD) Daerah Cheras menerima laporan kejadian itu sekitar pukul 9.40 malam.
Katanya, bertindak di atas laporan, sepasukan anggota Ronda Cegah Jenayah, Balai Polis Salak Selatan Baru bergegas ke lokasi kejadian.
“Siasatan awal mendapati, kebakaran melibatkan enam buah kereta dan dipercayai bermula dari sebuah kereta di aras 3B lalu merebak ke kereta lain yang diletakkan di aras 3C dan 2B.
“Kebakaran berjaya dikawal oleh pihak bomba daripada Balai Bomba Sri Petaling dan Balai Bomba Sungai Besi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Zam Halim, tiada kemalangan jiwa berlaku dan punca kebakaran masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM).
“Forensik bomba masih menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kebakaran,” katanya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Cheras di talian 013-2165881, atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE.