KUALA LUMPUR – Dua maut dan tiga lagi cedera setelah kereta dinaiki terbabas sebelum melanggar tiang jalan raya di sekitar pusat beli belah Eco Cheras, Jalan Cheras Taman Mutiara di sini pagi tadi.
Komander Operasi, Pegawai Kanan II (KUP) Mohd Ridzuan Ahmad berkata, seramai tujuh anggota pasukan operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheras dikejarkan ke lokasi setelah menerima panggilan kecemasan mengenai kemalangan tersebut pada pukul 6.42 pagi.
“Jentera bomba tiba di lokasi kejadian pada pukul 6.51 pagi dan hasil siasatan mendapati kereta jenis Toyota Innova 2.0 berkenaan terbabas lalu melanggar tiang jalan raya.
“Seramai lima orang mangsa lelaki warga tempatan terlibat, dua bangsa Iban manakala tiga lagi mangsa belum dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Ridzuan berkata, tiga mangsa tersepit di dalam kereta berkenaan dan anggota bomba berjaya mengeluarkan mangsa sekitar pukul 7.06 pagi.
“Dua orang mangsa yang berada di bahagian tempat duduk penumpang telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM).
“Mangsa yang terkorban telah diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Manakala, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan serta dalam keadaan separuh sedar telah dihantar ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi menjalani rawatan lanjut. – KOSMO! ONLINE