SEPANG – Selepas sah beralih ke kelas Moto3 Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2023, pelumba berbakat negara, Syarifuddin Azman berazam untuk mengatasi rekod cemerlang milik Khairul Idham Pawi atau lebih dikenali sebagai SuperKIP.
Syarifuddin yang mesra disapa Damok sah menyertai pasukan dari Sepanyol, MT Helmets-MSi menegaskan, dia perlu mempersiapkan dirinya secepat mungkin sebelum beralih ke pentas mencabar tersebut.
Namun, beralih ke pentas dunia itu adalah saat-saat yang dinantikannya untuk mengharumkan nama Malaysia seperti dilakukan Khairul Idham ketika beraksi dalam kelas Moto3 pada musim 2015, 2016 dan 2020.
Sebagai rekod, Khairul Idham menjadi pelumba pertama Malaysia menjuarai perlumbaan Moto3 di Grand Prix (GP) Argentina dan GP Jerman pada 2016.
“Saya tahu saingan Moto3 agak mencabar dan sengit sebab itu saya perlu siapkan diri secepat yang mungkin sebelum berada di pentas tersebut.
“Kita tahu SuperKIP mempamerkan aksi cukup baik sewaktu 2016 dan semestinya saya mahu pecah rekod kemenangan yang pernah dibuatnya dalam saingan Moto3.
“Kalau dia boleh buat, tak mustahil saya juga mampu mencapai keputusan terbaik seperti itu. Jadi, misi saya untuk lakukan terbaik dan mampu berada dalam saingan ini lebih lama,” katanya
Antara faktor utama Damok menyertai saingan Moto3 musim depan berdasarkan pencapaian memberangsangkan pada Kejuaraan Dunia JuniorGP sejak kebelakangan ini.
Sebagai rekod, saingan JuniorGP musim ini menyaksikan Damok mengumpul 110 mata untuk berada di tangga keempat keseluruhan selain menyertai empat perlumbaan Kejuaraan Dunia atas tiket wildcard termasuk pada Grand Prix (GP) Malaysia semalam. – KOSMO! ONLINE