AMPANG – Pelantikan tiga Timbalan Perdana Menteri dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung akan dilaksanakan sekiranya janji tersebut diletakkan di dalam manifesto Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehubungan itu BN perlu menang dahulu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dan perkara tersebut akan dibincangkan.
“Tidak tahu lagi (lantikan tiga Timbalan Perdana Menteri), biar menang dahulu. Kalau ada dalam manifesto kita, tentu sahaja kita akan pastikan ia dilaksanakan. Jadi, kita tunggu menang dahulu dan bincang tentangnya.
“Kalau terus dengan cadangan kita akan dapat nama, kalau wakil Sabah, Sabah akan bagi nama. Kalau dari Sarawak, Sarawak akan bagi nama dan kita akan bincang. Sekarang biar undi dahulu,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Ekspresi@Finas di sini hari ini.
Beliau yang juga Naib Presiden UMNO mengulas kenyataan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang menyifatkan cadangan tiga Timbalan Perdana Menteri dari Sabah dan Sarawak dilihat sebagai janji ‘mi segera’ kumpulan terdesak mencari sokongan.
Tuan Ibrahim menyifatkan cadangan itu cuma janji politik sekadar memenuhi permintaan parti politik di Sabah dan Sarawak.
Berhubung kenyataan itu, Ismail Sabri berkata, tiada sebarang halangan untuk Pas mengeluarkan pandangan berhubung perkara itu.
“Itu pandangan Pas, biar mereka dengan pandangan mereka. Kita (BN) dengan pandangan kita,” katanya. – KOSMO! ONLINE