KUALA NERANG – Seramai 10,506 pelajar daripada keluarga B40 di negeri ini menerima manfaat bantuan pendidikan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Pelajaran Mara (YPM).
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, bantuan itu melibatkan peruntukan lebih RM1.8 juta sepanjang tahun ini.
“Tahniah kepada YPM atas pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan dalam membantu golongan yang memerlukan ini.
“Usaha ini perlu dilaksanakan bagi memastikan anak-anak luar bandar terutama daripada golongan B40 tidak keciciran dalam pelajaran selain meringankan tanggungan ibu bapa,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran program CSR Pendidikan YPM Daerah Padang Terap di Pusat Komuniti Padang Kerasak, di sini hari ini.
Jelas Mahdzir, bantuan itu disalurkan menerusi pelbagai program pendidikan YPM yang dilaksanakan sepanjang tahun.
“Antaranya adalah Skim Bantuan Persekolahan, Dana Ehsan Pendidikan, Program Tuisyen Pintar, Program Kecemerlangan Modal Insan, Skim Anak Angkat dan Pembiayaan Pendidikan Tertiari,” ujarnya.
Kata beliau, program CSR YPM itu turut melibatkan Unimara dan Rural Capital Berhad (RCB) sebagai penyumbang di samping kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Padang Terap. – KOSMO! ONLINE