YANGON – Mayat tanpa kepala seorang guru sekolah tinggi ditinggalkan sebagai amaran di tengah Myanmar selepas dia ditahan dan dibunuh oleh pihak tentera, kata beberapa saksi Khamis lalu seperti laporan saluran berita NBC.
Kekejaman itu adalah yang terbaharu oleh tentera Myanmar atau lebih dikenali sebagai Tatmadaw.
Menurut keterangan dan gambar yang dirakam beberapa saksi di kampung Taung Myint, pedalaman rantau Magway, mayat tanpa kepala Saw Tun Moe, 46, ditinggalkan di hadapan pagar sekolah, manakala kepala mangsa dipacak pada pagar tersebut.
Sekolah itu yang ditutup sejak tahun lalu, turut dibakar.
Tentera dan media pemerintah tidak menyiarkan maklumat mengenai kematian guru tersebut.
Tatmadaw telah menangkap berpuluh-puluh ribu orang dan dituduh membunuh lebih 2,300 orang awam sejak merampas kuasa daripada kerajaan awam pimpinan Aung San Suu Kyi tahun lalu.
“Kami terkejut oleh laporan bahawa Tatmadaw menangkap, menyeksa secara terbuka dan memenggal kepala seorang guru sekolah di rantau Magway.
“Kekejaman junta tentera termasuk terhadap warga pendidik menuntut tindakan keras daripada masyarakat antarabangsa,” kata jurucakap Jabatan Negara Amerika Syarikat, Ned Price di laman Twitter.
Pada September lalu, sekurang-kurangnya tujuh pelajar terbunuh dalam serangan helikopter ke atas sekolah di sebuah biara Buddha di rantau Sagaing, utara Myanmar.
Junta tentera menafikan bertanggungjawab terhadap serangan itu.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu merekodkan sebanyak 260 serangan ke atas sekolah dan warga pendidik sejak junta tentera merampas kuasa di Myanmar pada Februari tahun 2021. – Agensi