fbpx

Suara Zaki Yamani ‘pecah’, rakam semula single baharu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ZAKI bersama bapa, Jamal Abdillah dan abangnya, Osama muncul dengan single baharu berjudul Tangan Yang Melambai.

KUALA LUMPUR – Penyanyi remaja Zaki Yamani mendedahkan terpaksa merakam semula single baharu secara trio bersama bapa serta abangnya, Datuk Jamal Abdillah dan Osama Yamani berjudul Tangan Yang Melambai.

Zaki atau nama sebenarnya Ahmad Zaki Yamani, 16, terpaksa berbuat demikian berikutan suaranya kini sudah ‘pecah’ dan kedengaran lebih matang.

“Sebenarnya saya kena rakam balik lagu itu kerana sewaktu merakamnya tahun lalu suara saya masih belum pecah, suara budak-budak lagi ketika itu.

“Jadi lagu itu kedengaran tidak seimbang pada bahagian tinggi, abang Osama dengan ayah sudah tarik bahagian itu tapi saya punya suara tak boleh buat.

“Alhamdulillah beberapa bulan lepas saya rakam semula bahagian tersebut kerana suara saya dah sedikit matang berbanding sebelum ini,” ujarnya.

Anak kedua kepada raja pop negara itu berkata, dia juga berdepan cabaran menyanyikan lagu berkenaan kerana genre tahun 1550-an yang kurang sesuai dengan jiwanya.

Menurutnya, lagu Tangan Yang Melambai ciptaan Ezra Kong akan dilancarkan dalam masa terdekat selepas selesai proses pembikinan video muzik.

Sementara itu, bercakap tentang arah tuju muzik, Zaki berkata, dia membuat keputusan untuk tidak mahu lagi menyanyikan lagu genre hip hop.

Kata Zaki, jiwanya kini lebih memilih genre pop balada dan cuba untuk membawa lagu-lagu bernada tinggi.

“Pada usia yang semakin meningkat, saya tak mahu lagi bawa lagu hip hop dan rap. Sebaliknya nak mencuba pop balada pula.

“Saya nak cuba lagu yang bernada tinggi macam abang dan ayah saya. Mereka dah maju ke depan takkan saya masih di belakang,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, mereka bertiga akan bergandingan menerusi konsert Gemilang Datuk Jamal Abdillah pada 9 Disember depan di Grand Banquet Hall, Residensi UTMKL.

“Ini kali kedua kami bertiga berkongsi pentas. Dari segi persediaan, saya kena bekerja lebih keras kerana ayah dan abang masing-masing sangat ‘power’ dari segi nyanyian,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI