BANDAR RAYA NEW YORK – Suami kepada bekas puteri Jepun, Puteri Mako akhirnya lulus dalam peperiksaan untuk bergelar peguam di New York pada percubaan kali ketiga, lapor akhbar Japan Today semalam.
Kei Komuro, berjaya menempatkan dirinya dalam senarai individu yang lulus peperiksaan peguam negeri New York pada Julai setelah keputusan itu dikeluarkan Jumaat lalu di laman web The New York State Board of Law Examiners.
Komuro, 31, gagal dalam dua percubaannya sebelum ini. Ia adalah perkara biasa bagi mana-mana individu untuk lulus selepas beberapa kali percubaan.
Daripada 9,609 calon peperiksaan terkini, kadar kelulusan ialah 66 peratus iaitu 6,350 orang termasuk Komuro.
Dia yang mendapat kelulusan dari sekolah undang-undang Universiti Fordham mendapat pekerjaan di sebuah firma guaman di New York dan tinggal negeri itu bersama Mako yang bekerja sebagai penjaga di muzium.
Pertunangan Komuro dengan Mako yang diumumkan pada 2017 menerima bantahan orang awam secara meluas dengan kebanyakannya dibicarakan di media sosial dan tabloid. Salah satu sebabnya adalah mengenai masalah kewangan ibu Komuro walaupun kes itu telah diselesaikan.
Selepas berkahwin dalam satu acara serba sederhana, pasangan itu mendaftarkan perkahwinan mereka dan berpindah ke New York pada November tahun lalu. – Agensi