LONDON – Pengendali Southampton, Ralph Hasenhuttl menyeru agar pasukan meneruskan momentum cemerlang dalam usaha merekodkan keputusan positif apabila bertemu pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL), Arsenal di St. Mary malam ini.
Sebagai rekod, The Saints yang bergelut dengan prestasi sebelum ini berjaya merekodkan kemenangan pertama pada kempen EPL sejak Ogos lepas setelah menewaskan Bournemouth 1-0 pada awal minggu ini.
Kata Hasenhuttl, barisan pemain perlu memiliki keyakinan diri kerana tiada apa yang mustahil dalam bola sepak selain berpengalaman menewaskan The Gunners di venue yang sama pada musim lepas.
“Saya akui kemenangan ke atas Bournemouth sebelum ini telah menyuntik kembali semangat pemain untuk berikan yang terbaik di atas padang. Meskipun kita bakal berdepan Arsenal, saya anggap pasukan masih mempunyai peluang untuk merekodkan keputusan positif.
“Namun, saya lihat pasukan lawan menunjukkan peningkatan mendadak berbanding musim lepas dan bukanlah sesuatu yang mengejutkan. Mereka berjaya mendapatkan penyerang berkualiti seperti Gabriel Jesus dan kita perlu waspada sepanjang 90 minit perlawanan,” katanya.
Sementara itu, pengendali dari Austria itu turut mengesahkan pasukannya kehilangan dua tonggak pertahanan berpengaruh, Kyle Walker-Peters dan Armel Bella-Kotchap pada aksi bertemu Arsenal nanti.
“Walker-Peters bakal diketepikan untuk tempoh yang lama kerana kecederaannya agak serius sementara Bella-Kotchap masih belum cergas sepenuhnya. Mungkin saya akan membuat rombakan pada posisi pertahanan,” katanya.
– AGENSI