SETIAP negara di atas muka Bumi ini didiami oleh pelbagai etnik dan suku kaum tertentu.
Setiap suku kaum mempunyai adat resam tertentu sejak zaman nenek moyang yang masih diamalkan sehinggalah ke saat ini.
Tidak dinafikan juga, terdapat ritual-ritual tertentu yang masih dilakukan bagi memastikan amalan tersebut terus terjaga meskipun bersifat pelik serta aneh.
Begitu juga dengan penduduk di Kabupaten Ponorogo, Jawa Timur, Indonesia yang masih mengekalkan ritual tetap suku kaum tersebut walaupun dunia mendepani arus teknologi.
Biasanya, ritual kekebalan sering dikaitkan dengan seseorang yang mahukan perlindungan luar biasa bagi mengelak daripada ditimpa sebarang musibah mahupun kecelakaan tidak diingini.
Bagaimanapun, berbeza dengan sebahagian penduduk di Kabupaten yang melakukan ritual kekebalan bukan kepada manusia, sebaliknya terhadap kenderaan.
Kedengaran agak pelik dan mungkin boleh membuatkan seseorang itu menggaru kepala, tetapi itulah yang diamalkan mereka sejak bertahun lamanya sebagai salah satu ritual penting.
Baru-baru ini, tular dalam media sosial terutama di Instagram mengenai perkongsian video ritual kekebalan terhadap kenderaan yang dikongsikan oleh salah seorang penduduk kampung di Kabupaten Ponorogo.
Video tersebut telah membuktikan bahawa ritual kekebalan berkenaan sememangnya wujud dan masih diamalkan oleh suku kaum itu sehingga hari ini.
Video yang telah meraih lebih 10,000 tontonan itu memaparkan kelibat beberapa individu lengkap berpakaian kuning sambil diketuai seorang ketua.
Dalam video berkenaan juga memperlihatkan ritual kekebalan sedang dilakukan oleh ketua kumpulan itu terhadap sebuah motosikal jenis Honda Beat berwarna hitam kekuningan.
Sumber daripada penduduk tempatan mengatakan, ketua kumpulan tersebut memulakan ritual dengan membaca jampi serapah tertentu sebelum menyalurkan aura kekebalan kepada kenderaan.
“Jika sudah dijaga, motosikal ini tidak boleh dicuri, apatah lagi disentuh oleh orang tidak bertanggungjawab.
“Jika sudah dibacakan jampi dan disalurkan aura kekebalan ini, pasti tidak boleh dicuri sekiranya mereka ada niat berbuat demikian,” ujar ketua itu kepada ratusan penonton yang hadir.
Meskipun ritual itu kelihatan agak aneh dan sukar dipercayai, namun cubaan beberapa ahli kumpulan tersebut untuk mencuri serta memegang motosikal berkenaan telah menemui kegagalan.
“Jelas dapat dilihat semua mereka terpelanting apabila ingin mendekati motosikal ini. Ia membuktikan bahawa aura kekebalan daripada ritual tadi telah meresap masuk ke dalam motosikal ini.
“Seperti anda dapat lihat, tidak hanya terpelanting, mereka semua jatuh terbaring ke tanah dan sukar untuk bangun semula,” kata pengemudi acara itu lagi.
Difahamkan, ritual menyalurkan aura kekebalan itu bukan sekadar dilakukan kepada motosikal, malah turut melibatkan kenderaan peribadi lain seperti kereta dan basikal.
Tambah ketua berkenaan, ritual yang diamalkan sejak lebih lima dekad itu telah terbukti berjaya mengurangkan kes kecurian kenderaan yang sering berlaku di wilayah berkenaan.