SHAH ALAM – Atas nama setiakawan, Tom, Shila Amzah dan Jaclyn Victor menggantikan Dina Nadzir yang tidak dapat mendendangkan lagu tugasan konsert minggu keenam Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9).
“Terima kasih kerana mengisi kekosongan (Dina) pada malam ini,” demikian kata pengacara Nabil Ahmad usai tiga penyanyi wanita itu menyanyikan lagu Januari dendangan asal Glenn Fredly.
Dina atau nama sebenarnya, Faradina Mohd. Nadzir kehilangan bapa tersayang disebabkan komplikasi paru-paru sekali gus tidak dapat beraksi malam tadi.
Allahyarham Mohd. Nadzir Gulam, 64, pulang ke negeri abadi kira-kira pukul 10 pagi tadi di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru.
Petang tadi, pengurus Dina iaitu Mickey mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru. Menurutnya, Dina bersama-sama ahli keluarga yang lain sempat berada di sisi Allahyarham sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir.
“Arwah memang mempunyai penyakit kanser. Baru-baru ini, dia dimasukkan ke hospital sejak beberapa hari lalu kerana mengalami kegagalan paru-paru,” ujarnya.
Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Impian Emas, Johor Bahru sebelum solat Asar pada petang Ahad.
Sehubungan itu, Dina tidak dapat beraksi pada konsert GV9 minggu keenam bagi menghormati pemergian ayahandanya dan menguruskan urusan pengebumian. – KOSMO! ONLINE