fbpx

[VIDEO] Pengunjung bertempiaran lari, kontena ‘fun fair’ terbakar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebuah kontena menempatkan barangan elektronik terbakar di sebuah tapak fun fair di Bandar Baru Tanah Merah semalam.

TANAH MERAH – Pengunjung di sebuah tapak ‘fun fair’ di Bandar Baru Tanah Merah di sini bertempiaran lari selepas melihat sebuah kontena yang menyimpan peralatan elektronik di kawasan itu terbakar malam tadi.

Kejadian kira-kira pukul 9 malam itu disedari oleh pihak pengurusan selepas melihat kepulan asap dan api yang membakar kontena tersebut.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Mohd. Zulkifli Osman berkata, pihak pengurusan ‘fun fair’ telah membuat pencegahan awal dengan mengarahkan semua pengunjung keluar dari kawasan berkenaan untuk menyelamatkan diri.

Menurutnya, bomba menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 9.04 malam sebelum tujuh anggota bomba dan sebuah jentera bergegas ke tapak ekspo itu.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, anggota bomba mendapati api sedang marak membakar sebuah kontena yang menempatkan pelbagai barangan elektronik.

“Kesemua barangan tersebut tidak sempat diselamatkan kerana kebakaran berlaku dengan pantas,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Mohd.Zulkifli berkata, jumlah pengunjung di ekspo tersebut agak ramai kerana ia merupakan malam terakhir penganjuran ‘fun fair’ itu selepas empat minggu beroperasi di situ.

Katanya, kebakaran itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa.

Tambahnya, pihak bomba sedang menjalankan siasatan untuk mengetahui punca kebakaran dan jumlah kerugian yang ditanggung oleh penganjur. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI