fbpx

Mas Ermieyati diumum calon pertama PN, pertahan Masjid Tanah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mas Ermieyati berucap pada Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah, Melaka, malam tadi.

ALOR GAJAH – Penyandang kerusi Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin diumumkan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mempertahankan kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mas Ermieyati ketik ditemui memberitahu, dia turut terkejut dengan pengumuman itu susulan ia adalah pertama kali dibuat dalam Siri Jelajah Prihatin PN setakat ini.

“Pengumuman malam ini amat mengejutkan dan saya ucap banyak terima kasih di atas kepercayaan Muhyiddin kepada saya, diumumkan sebagai calon.

“Saya difahamkan ini (pengumuman calon) dibuat kali pertama kerana sudah beberapa negeri Muhyiddin pergi dalam Jelajah Prihatin PN, tidak ada pengumuman dibuat tentang mana-mana calon.

“Insya-Allah saya cuba buat yang terbaik dalam kempen ini bersama seluruh pasukan PN dan kami akan bekerja bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan kerusi PN di Masjid Tanah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Pelancaran Jentera Pilihan Raya PN Melaka di Kampung Paya Lebar, Masjid Tanah dekat sini, malam tadi.

Pada PRU14, Mas Ermieyati yang bertanding atas tiket Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 8,159 undian menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Datuk Dr. Sabirin Ja’afar dan calon Pas, Nasir Othman.

Bekas Ketua Puteri UMNO itu kemudiannya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Disember 2018.

Ditanya mengenai peluangnya mempertahankan kerusi berkenaan, Mas Ermieyati yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) berkata, beliau akan mencuba sedaya upaya untuk menang bagi membantu usaha PN menawan Putrajaya.

Mengenai jangkaan pertembungan dengan nama besar dicalonkan BN di Masjid Tanah seperti Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, beliau berkata, PN dan Bersatu sudah cukup bersedia menanti sesiapa sahaja yang menjadi calon.

“Kita jangka nama beliau (Sulaiman), namun siapa sahaja calon yang diletakkan kita akan cuba sedaya upaya untuk berkempen dan berjumpa dengan pengundi, apa tawaran yang akan diberikan jika saya diberi mandat oleh pengundi di sini,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI