LONDON – Bekas Perdana Menteri Britain, Liz Truss yang meletak jawatan selepas 45 hari dilantik dibenarkan menuntut elaun tahunan berjumlah £115,000 (RM615,947) sepanjang hayatnya, lapor stesen penyiaran CNN kelmarin.
Truss menjadi Perdana Menteri paling singkat dalam sejarah Britain selepas mengumumkan peletakan jawatannya Khamis lalu.
Ucapannya mencetuskan ‘perlumbaan’ kepemimpinan yang menyaksikan pelantikan Perdana Menteri Britain kelima daripada Parti Konservatif dalam masa hanya enam tahun.
Walaupun tempoh perkhidmatannya singkat, Truss berhak menerima bayaran di bawah Elaun Kos Tugas Awam (PDCA), sebuah program yang dikawal selia oleh kerajaan dan diperkenalkan pada 1990 untuk membantu bekas Perdana Menteri yang masih aktif dalam tugas-tugas awam.
Elaun itu diberikan kepada mana-mana bekas Perdana Menteri untuk kos pejabat dan kesetiausahaan yang digunakan daripada tugas-tugas awam mereka.
“Pembayaran itu dibuat hanya untuk memenuhi kos sebenar dengan meneruskan tugas-tugas awam. Semua bekas Perdana Menteri layak menerima PDCA,” demikian menurut laman web kerajaan Britain.
PDCA telah dihadkan kepada £115,000 (RM615,947) setahun sejak 2011 dan disemak pada setiap tahun oleh perdana menteri yang memegang jawatan.
Bekas pemimpin juga berhak menuntut elaun untuk kos pencen mereka yang dihadkan kepada 10 peratus daripada PDCA.
Dari 2020 hingga 2021, kesemua bekas perdana menteri termasuk Theresa May, David Cameron, Gordon Brown, Tony Blair dan John Major dibayar balik dengan jumlah yang berbeza, demikian menurut Laporan Tahunan dan Akaun 2020-2021 daripada Pejabat Kabinet.
Bagaimanapun, ahli politik pembangkang dan kesatuan sekerja menggesa Truss untuk menolak elaun tahunan itu secara terbuka, ketika rakyat Britain bergelut dengan krisis kos sara hidup akibat kenaikan kos tenaga dan inflasi pada paras tertinggi dalam 40 tahun. – Agensi