fbpx

Kulit dah ada kedutan halus, Sofia Jane tolak pujian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SOFIA Jane tidak gemar berkongsi petua kecantikan kerana berasakan apa yang baik untuknya tidak semestinya bagus bagi orang lain.

PESONA dan kecantikannya masih kelihatan menawan. Meski usianya sudah memasuki separuh abad, kejelitaan pelakon berdarah kacukan Melayu-Inggeris itu tidak banyak berubah.

Lama tidak melihat kelibat aktres yang layak digelar primadona itu menghiasi layar lebar mahupun kaca televisyen.

Bagi pemilik nama pentas Datin Sofia Jane, 50, dia tidak merasakan dirinya masih menawan seperti yang diperkatakan ramai memandangkan usianya bukan lagi muda.

Bagaimanapun, pelakon yang pernah membintangi beberapa filem popular antaranya Harry Boy, Kekasih Awal dan Akhir, Perempuan, Isteri dan … serta Sayang Salmah itu bersyukur atas kurniaan yang diberikan Allah SWT selain mengakui amat menitikberatkan penjagaan kesihatan.

Ketika disoal Pose tentang ‘rahsia’ penjagaan kecantikan yang diamalkan, Sofia agak keberatn untuk bercakap mengenainya.

Bukan kerana kedekut berkongsi ilmu tentang amalannya. Tetapi bagi wanita kelahiran London, England itu, dia berpendapat, apa yang dirasakan baik bagi dirinya, tidak bermakna bagus untuk orang lain.

“Saya sebenarnya tidak suka menjawab soalan begini walaupun menerima banyak pertanyaan tentangnya dalam Twitter.

“Sebab apa yang bagus pada saya tidak semestinya baik juga untuk orang lain. Saya sudah pun berusia 50 tahun dan anda pula 25 tahun. Bagaimana saya mahu berkongsi rahsia jika tidak sesuai dengan anda?” katanya.

Hanya selepas dipujuk, Sofia akhirnya memberitahu dia sudah menukar menu pemakanannya kepada makanan berasaskan sayur-sayuran (vegetarian) sejak tujuh tahun lalu.

“Saya pengamal sayur-sayuran. Saya sudah menjadi ‘vegetarian’ sejak tujuh tahun lalu. Selain itu saya hanya amalkan perkara asas yang dilakukan seperti orang lain iaitu bersenam dan minum air putih dengan banyak,” katanya.

Pemenang Artis Paling Popular di Anugerah Bintang Popular 1993 itu bagaimanapun seakan menolak pujian yang mengatakan dirinya masih kelihatan muda kerana kulit wajahnya sudah pun mempunyai garis-garis kedutan halus.

“Siapa kata saya muda? Kulit saya sudah ada garis-garis kedutan halus. Tapi saya sangat menyukainya. Saya tidak akan kembali pada usia 25 tahun. Hakikatnya saya sudah berusia 50 tahun.

“Saranan terbaik saya, jaga pemakanan dan jalani kehidupan yang sihat dan aktif. Paling penting jangan lupa untuk senyum dengan orang di sekeliling kita,” katanya.

Menyentuh perkembangan terkini kariernya, Sofia teruja apabila buat pertama kali membawakan watak antagonis menerusi drama bersiri, One Cent Thief sebagai Ibu Zara.

Selepas 16 tahun ‘mengunci’ diri daripada terlibat dalam dunia hiburan selepas berhijrah ke Australia, Sofia mengakui sangat merindui kerjayanya sebagai pelakon.

“Selama 16 tahun saya tidak berlakon. Saya tidak hilang, cuma waktu tidak mengizinkan. Saya masih mengikuti perkembangan industri tempatan dan melihat ramai bakat muda hebat,” katanya.

Katanya lagi, memandangkan anak-anaknya juga sudah meningkat dewasa, dia merasakan sekarang adalah waktu yang sesuai untuk kembali ke dunia lakonan yang dirinduinya.

“Saya bukan mahu jadi pelakon eksklusif. Tapi semuanya berbalik pada masa. Selepas 16 tahun, saya tidak menyangka rezeki dalam bidang lakonan masih ada.

“Suami juga menyokong saya kembali berlakon. Anak-anak pun dah besar. Jadi inilah masa sesuai saya kembali aktif,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI