BEIJING – Rakaman yang memaparkan bekas presiden China, Hu Jintao diminta meninggalkan pentas di Dewan Besar Rakyat di Beijing semasa Kongres Parti Komunis menarik perhatian global ketika orang ramai cuba ‘menyiasat’ perkara sebenar yang berlaku, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC).
Agensi berita China, Xinhua melaporkan bahawa Jintao, 79, diiring keluar dari dewan itu selepas berasa tidak sihat. Bagaimanapun, beliau dilihat keberatan untuk bergerak ketika diiring keluar.
Rakaman lebih panjang yang dikongsikan semalam turut menimbulkan tanda tanya apabila Jinping dilihat menoleh ke arah Jintao dan tokoh kanan, Li Zhanshu dan Wang Huning.
Zhanshu bergerak untuk membantu Jintao tetapi ditarik balik oleh Huning yang seolah-olah berkata: “Jangan terlibat dalam perkara ini.”
Selepas Jintao berdiri, tangannya secara tidak sengaja mengambil nota milik Jinping tetapi ditarik balik oleh presiden itu.
Kejadian itu berlaku pada penghujung kongres Parti Komunis yang berlangsung selama seminggu, yang menyaksikan Xi Jinping mengukuhkan kedudukan sebagai pemimpin paling berkuasa di China sejak pemerintahan Mao Zedong.
Pada hari pertama kongres, Jintao berjaya memasuki dewan hanya dengan bantuan seorang pegawai dan pada hari berkenaan, beliau kelihatan sangat lemah.
“Pemberita Xinhuanet, Liu Jiawen memaklumkan bahawa Jintao berkeras untuk menghadiri sesi penutup walaupun dia mengambil masa untuk pulih baru-baru ini.
“Apabila dia tidak sihat semasa sesi itu, kakitangannya menemaninya ke bilik bersebelahan tempat mesyuarat untuk berehat. Kini, kesihatannya jauh lebih baik,” lapor Xinhua di Twitter. – Agensi
@rich21ks2♬ original sound – user7100014933751