PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir melibatkan negeri Sabah dan Sarawak pada petang ini.
MetMalaysia dalam satu kenyataan berkata, amaran tersebut dikeluarkan susulan hujan lebat dan angin kencang yang diramalkan akan melanda beberapa daerah di negeri itu sehingga pukul 3 petang nanti.
“Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Sarawak melibatkan daerah Miri (Telang Usan) dan Limbang.
“Sementara itu, di Sabah pula, daerah yang terlibat ialah di Pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan), Pantai Barat (Papar, Penampang dan Ranau), Tawau (Tawau dan Lahad Datu), Sandakan (Beluran) dan Kudat,” katanya.
MetMalaysia berkata, amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter per jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam. – KOSMO! ONLINE