KLUANG – Kumpulan gajah berkeliaran di Kampung Sri Lukut di sini bukan satu perkara aneh sebaliknya pemandangan biasa bagi penduduk di perkampungan berkenaan sejak 10 tahun lalu.
Malah, setiap kali ada kemasukan kumpulan gajah ini, penduduk sudah sedia maklum apa yang perlu dilakukan bagi mengelakkan sesuatu yang tidak diingini berlaku.
Ketua Kampung Sri Lukut, Yusuf Ibrahim berkata, kes kemasukan kumpulan gajah ke kawasan perkampungan di Kahang ini memang kerap berlaku menyebabkan penduduk seperti tidak lagi takut kepada binatang yang lebih sinonim dengan gelaran “orang just” ini.
Katanya, kadang-kadang gajah datang dalam kumpulan yang agak banyak dan pada pagi semalam hanya dua ekor sahaja yang ditemui berkeliaran di sekeliling kampung.
“Jika mereka menemui tumbuhan yang boleh dijadikan makanan, ianya akan “singgah” sekejap sebelum berlalu pergi ke tempat lain.
“Mungkin kumpulan gajah ini datang dari hutan berhampiran dan berada di dalam kampung pada waktu malam menyebabkannya kesiangan untuk balik ke hutan semula,” katanya.
Menurut Yusuf, penduduk kampung pun sudah tidak tahu apalagi yang perlu dilakukan untuk menghalang kemasukan kumpulan gajah ini kerana beberapa ikhtiar sudah dilakukan namun gagal.
Ujarnya, jika ada tanaman yang dimakan oleh kumpulan gajah ini, penduduk hanya membiarkannya dan menganggap sebagai sedekah kepadanya.
“Kejadian seperti ini jika dimaklumkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) pun hanya pemantauan serta pengusiran keluar dilakukan dan gajah ini akan datang semula,” Katanya. – KOSMO! ONLINE