fbpx

Bapa Dina Nadzir meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Bapa penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir meninggal dunia disebabkan komplikasi paru-paru.

PETALING JAYA – Peserta Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9), Dina Nadzir menerima perkhabaran duka apabila bapa kesayangannya meninggal dunia hari ini.

Bapanya, Mohd. Nadzir Gulam, 64, menghembuskan nafas yang terakhir kira-kira pukul 10 pagi tadi di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru.

Mickey selaku pengurus Dina mengesahkan perkara tersebut dan memaklumkan bahawa Allahyarham meninggal dunia akibat komplikasi paru-paru.

Menurutnya, Dina bersama-sama ahli keluarga yang lain sempat berada di sisi Allahyarham sebelum beliau menghembuskan nafas yang terakhir.

“Arwah memang mempunyai penyakit kanser. Baru-baru ini, dia dimasukkan ke hospital sejak beberapa hari lalu kerana mengalami kegagalan paru-paru,” ujarnya.

Jenazah akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Taman Impian Emas, Johor Bahru sebelum solat Asar pada petang Ahad.

Sehubungan itu,  Dina tidak dapat beraksi pada konsert GV9 malam ini bagi menghormati pemergian ayahandanya dan menguruskan urusan pengebumian.

Dalam pada itu, pelantun lagu Cinta Datang Lagi itu sempat berkongsi dirinya telah melakukan soundcheck atau latihan pada malam Sabtu sebagai persiapan untuk melakukan persembahan di konsert GV9 namun tidak dapat melakukan persembahan pada malam ini.

Sekadar info, pada minggu lalu, Dina berjaya menempatkan diri dengan kedudukan kesembilan dan sepatutnya akan mempersembahkan lagu Januari nyanyian asal Glen Fredly.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI