JUARA Grand Final Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY musim Ke-10, Team Haq mengharapkan satu lagi kejutan mampu dilakukan pada debut Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 (M4) di Jakarta, Indonesia Januari ini.
Menyedari persaingan lebih sukar bakal dihadapi pada pertandingan peringkat dunia, Team Haq sudah pun mengatur beberapa persiapan dan bercadang untuk menambah jumlah barisan kejurulatihan.
Jurulatihnya, Khairul Azman Muhammad Syarif berkata, pengurusan pasukan juga mungkin akan menubuhkan satu pasukan untuk membuat analisis permainan.
“Kalau ikutkan, antara kuasa besar Mobile Legends adalah Indonesia dan Filipina. Semua pasukan ini nyata memiliki kekuatan tersendiri, Indonesia menjurus kepada permainan agresif, manakala Filipina lebih kepada permainan berpasukan.
“Bagi Team Haq, kami lebih selesa untuk menerapkan permainan secara berpasukan. Apa pun, kami akan melakukan beberapa lagi penambahbaikkan bagi memastikan Team Haq benar-benar bersedia untuk menghadapi kejohanan dunia,” katanya.
Sebelum ini, Team Haq mencetuskan sensasi dalam industri e-sukan selepas menewaskan juara bertahan Todak 4-2 pada penampilan sulungnya pada Liga Profesional Mobile Legends (MPL) MY.
Kejayaan itu turut mendapat perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob atas pencapaian hebat yang menyaksikan Team Haq bakal membawa cabaran Malaysia ke Kejohanan Dunia Mobile Legends Bang Bang M4 (M4) bersama Todak.
Team Haq dibarisi oleh lima pemainnya iaitu Muhammad Syafizan, Aiman Zairie Anuar, Poh Chun Wai, Aimin Zairie Anuar dan Mohamad Nilzaihan Mohamad Neilham.
“Apabila sudah layak ke pertandingan dunia, sudah pasti kami juga tetap menaruh harapan untuk raih kejayaan. Untuk penyertaan kali ini, saya letak harapan untuk berada di kelompok tiga terbaik,” kata Mohamad Nilzaihan.