LONDON – Pemimpin Parti Buruh Britain, Sir Keir Starmer menggesa agar pilihan raya umum diadakan segera susulan peletakan jawatan Perdana Menteri Liz Truss pada pagi Khamis.
Starmer berkata Britain tidak lagi boleh berkompromi dengan sebarang eksperimentasi pemilihan pemimpin yang dipilih dalam kalangan Parti Konservatif atau Tory.
Selain Parti Buruh, Parti Demokrat Liberal, Parti Nasional Scotland (SNP) dan Parti Hijau juga menyatakan gesaan serupa selepas menyaksikan ‘drama sebabak’ Parti Tory.
Pemimpin SNP Westminster, Ian Blackford berkata kekacauan di tengah-tengah kerajaan Tory perlu ditamatkan segera.
“Kami tidak memerlukan seorang lagi perdana menteri Konservatif yang bergerak dari krisis ke krisis, kami memerlukan pilihan raya umum.
“Sudah tiba masanya untuk Ahli Parlimen Tory menjalankan tugas patriotik mereka, mendahulukan negara dan memberi suara kepada rakyat,” tegas Pemimpin Liberal Demokrat, Ed Davey.
Pilihan raya umum sepatutnya tidak akan berlangsung sehingga sekurang-kurangnya 2024, selepas Tory memenangi majoriti besar pada pemilihan terakhir pada 2019.
Polemik politik Britain kini menjadi bahan jenaka oleh masyarakat dunia selepas Truss mengumumkan peletakan jawatan hanya selepas 45 hari mengisi posisi yang ditinggalkan oleh Boris Johnson.
Truss akur dengan desakan anggota parti yang tidak berpuas hati terhadap beberapa pembentangan bajet kabinetnya berkaitan pemotongan cukai.
“Saya mengaku tidak lagi mampu mendukung mandat yang diamanahkan kepada saya semasa mengambil alih tampuk pentadbiran,” kata Truss pada sidang media pengumuman peletakan jawatannya.
Perdana Menteri baharu akan diumumkan pada 28 Oktober selepas anggota parti Tory membuat pilihan masing-masing ke atas tiga calon akhir yang akan diumumkan pada Isnin ini.
Ini merupakan pemilihan Perdana Menteri kedua oleh parti berkenaan bagi tahun ini sahaja.
Truss berkata beliau akan kekal dalam jawatan sehingga pengganti secara rasmi mengambil alih sebagai ketua parti dan dilantik sebagai perdana menteri oleh Raja Charles III.
Dia akan menjadi perdana menteri paling singkat dalam sejarah British apabila dia berundur.
Antara calon-calon popular yang dijangka merebut peluang bergelar perdana menteri baharu ialah bekas canselor kewangan, Rishi Sunak, Johnson sendiri dan ahli kabinet kanan Tory, Penny Mordaunt.
Rishi yang tewas kepada Truss pada pemilihan musim panas lalu tidak menolak untuk kembali bertanding manakala Johnson yang meletak jawatan susulan kontroversi berparti semasa perintah berkurung dilaporkan bersiap-sedia untuk kembali ke Downing Street.
“Masa untuk kembali,” tulis Menteri Perdagangan, James Duddridge di laman Twitter sambil meletakkan tanda pagar #BringBackBoris (kembalikan Boris). – AFP