fbpx

Peniaga pasar bukan lagi keutamaan pembekal telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEORANG pengguna melihat rak telur yang kehabisan bekalan di sebuah pasar mini di George Town semalam.

GEORGE TOWN – Peruncit dan peniaga di pasar dikatakan bukan lagi menjadi keutamaan sebahagian pembekal telur ayam di negeri ini sebaliknya bekalan itu terpaksa diagihkan mengikut jumlah sama rata dengan pelanggan lain ketika ini.

Seorang pembekal telur ayam di Pulau Pinang yang mahu dikenali Zul berkata, pihaknya kini terpaksa mengehadkan barangan keperluan itu kepada kira-kira 30 pelanggan setiap hari kerana berdepan kekurangan bekalan hingga 70 peratus sejak Jun lalu.

Katanya, pelanggan dalam kalangan peniaga pasar, kedai runcit, pasar mini dan pasar raya kini menerima separuh daripada jumlah tempahan bekalan seperti kebiasaan iaitu daripada 200 bekas menjadi 80 hingga 100 sahaja.

“Disebabkan perkara ini, peniaga di pasar bukan lagi menjadi keutamaan lagi berbanding sebelum ini (ketika bekalan telur mencukupi) kami akan meletakkan mereka pada senarai teratas bagi keperluan isi rumah.

“Setiap hari, kami perlu mengagihkan jumlah tempahan telur di 20 hingga 30 lokasi dengan masing-masing akan menerima bekalan tidak mencukupi daripada jumlah tempahan sebenar.

“Permintaan telur ayam saban hari semakin meningkat meskipun pembekal mengenakan caj penghantaran sebanyak satu sen setiap gred. Peniaga juga terpaksa menerima hakikat perkara ini yang didakwa berpunca daripada bekalan te­lur di ladang,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Dalam pada itu, Zul mendakwa, berikutan tidak dapat memenuhi permintaan pelanggan utama menyebabkan kira-kira 20 peratus daripada 30 peruncit di bahagian pulau telah menghentikan tempahan daripadanya.

“Ada peniaga di pasar kini sudah beralih tempahan kepada pembekal telur lain. Mereka tidak lagi membuat tempahan dengan saya disebabkan keengganan menerima jumlah telur yang sedikit iaitu di luar permintaan mereka,” jelasnya.

Namun, Zul menambah, sehingga ke hari ini dia masih kekal untuk tidak menerima tempahan telur ayam daripada pengusaha kedai kek disebabkan perlu mendahului bekalan di kedai-kedai runcit bagi memenuhi keperluan isi rumah.

Terdahulu, tinjauan Kosmo! di sebuah pasar mini di Daerah Barat Daya di sini mendapati, sudah hampir seminggu rak telur ayam kosong melainkan hanya terdapat te­lur burung puyuh.

Pada 19 Oktober lalu, Kos­mo! melaporkan, krisis bekalan ­telur ayam di sekitar Pokok Sena dan Padang Terap di Alor Setar, Kedah dilaporkan semakin serius apabila ramai peruncit dan pembekal makanan dikatakan tidak mendapat bekalan yang mencukupi untuk pelanggan mereka. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI