BERA – Serik berdepan banjir setiap tahun membuatkan penduduk Kampung Paya Panjang, Kuala Triang, di sini nekad membina rumah rakit sebagai persediaan menghadapi musibah itu penghujung tahun ini.
Daripada 126 keluarga di perkampungan itu, sebanyak 36 keluarga yang sering terjejas banjir terpaksa menanggung kerugian akibat kerosakan harta benda yang tidak dapat diselamatkan.
Seorang penduduk, Noorhayati Mohamad, 50, berkata, rumahnya adalah kawasan pertama dinaiki air di perkampungan itu sekiranya berlaku musibah banjir.
Ujarnya, setiap tahun, sekiranya air sungai mulai melimpah, mereka sekeluarga akan mula mengangkat barang-barang ke kawasan yang lebih selamat.
“Sebelum ini, ada dua orang anak saya yang tolong angkat barang tetapi sejak anak perempuan kemalangan hanya anak lelaki sahaja boleh membantu mengangkat barang-barang.
“Kalau hendak harapkan semuanya pada anak lelaki, memang dia tak larat buat semua itu, jadi suami yang bagi idea untuk buat rumah rakit ini supaya kami dapat pindahkan barang lebih awal ke atas rumah rakit ini jika hujan berterusan,” katanya.
Noorhayati berkata, sebelum ini mereka akan pindahkan barang ke tingkat atas atau loteng rumah, namun jika banjir besar, mereka sekali lagi akan memindahkan pula barang-barang dengan menyimpannya dalam kereta yang akan diletakkan di kawasan berbukit, namun kaedah itu dilihat tidak lagi relevan.
Jelasnya, barang-barang yang disimpan dalam kereta itu berisiko rosak selain bimbang berlaku kecurian barang yang diletakkan di kawasan lain tanpa pengawasan.
“Jadi bermodalkan kira-kira RM4,000, rumah rakit ini kami buat secara berperingkat sebab menantu akan balik ke sini setiap hujung minggu sahaja untuk siapkannya.
“Saya harap rumah rakit ini boleh siap sebelum banjir, lagi pun, cuaca sekarang tidak menentu dan kami sukar hendak ramal banjir berbanding tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya.