fbpx

K2

Penangan tumpaskan layaran seberat 30kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pak SU sentiasa berpuas hati dengan hasil tangkapannya di laut.

KEJAYAAN menewaskan seekor ikan layaran seberat 30 kilogram (kg) di tuas berhampiran Pulau Payar, Kedah menyemarakkan lagi semangat pemancing laut dalam, Shuib Omar untuk meneruskan hobinya itu.

Shuib atau lebih dikenali sebagai Pak Su dalam kalangan rakannya berkata, dia gemar memancing sejak kecil lagi dengan menangkap ikan di tali air dan sawah menggunakan buluh sebagai joran.

Ujar lelaki berasal dari Kubang Rotan, Alor Setar, Kedah itu, dia mula beralih kepada aktiviti memancing di laut dalam pada tahun 2012.

“Hampir setiap bulan, saya turun ke laut bersama saudara dan rakan-rakan. Biasanya, kami berhimpun di Jeti Kubang Rotan pada pukul 7 pagi sebelum menuju ke beberapa tuas yang menjadi lubuk ikan.

“Antara tuas sasaran kami ialah Pulau Payar dan unjam Langkawi kerana di situ menjanjikan hasil tangkapan yang menarik. Pengalaman bermain dan menewaskan ikan di perairan itu cukup mengujakan,” ujar bapa kepada lima anak itu.

Menurut Pak Su, dia gemar menggunakan teknik memancing dasaran dan pertengahan kerana mampu membawa hasil yang lumayan.

“Dengan menggunakan teknik pertengahan, kami boleh menundukkan ikan yang berada di kawasan itu seperti tenggiri, alu-alu dan layaran.

“Sementara itu, teknik dasaran pula membolehkan kami mendapat hasil seperti kerapu, jenahak, gerut dan pari dengan hanya menggunakan umpan sotong, udang serta ikan kembung.

“Penggunaan teknik dasaran atau pertengahan perlu bergantung kepada keadaan arus kerana boleh memberi kesan terhadap hasil tangkapan,” ujarnya.

Dia turut memaklumkan, pengalaman menewaskan ikan layaran di tuas Pulau Payar pada tahun 2018 masih segar dalam ingatannya.

Ujarnya, dia terpaksa berhempas-pulas selama 30 minit bagi menaikkan ikan seberat 30kg itu.

Pak SU (kanan) bersama rakan-rakannya menunjukkan ikan pari yang berjaya dinaikkan.

“Itulah detik paling manis sejak saya melibatkan diri dalam aktiviti memancing di laut sejak sedekad lalu.

“Bagi menumpaskan ikan layaran bukanlah semudah disangka kerana ia memerlukan kekuatan tangan serta pengalaman.

“Tali joran sepanjang 300 meter habis dilepaskan dan ikan layaran itu terus cuba melepaskan diri sehingga kami terpaksa menghidupkan semula enjin bot. Saya terpaksa mengambil masa selama setengah jam untuk menewaskan ikan itu,” jelasnya.

Kata Pak Su lagi, kejayaan menaikkan ikan layaran itu membuatkannya terasa seperti seorang ‘juara’.

“Saya rasa cukup puas apabila berjaya menaikkan ikan itu. Saya sempat bergambar, sebelum melepaskannya kembali ke dalam laut,” kata Pak Su.

Ceritanya lagi, dia dan rakan-rakan terpaksa menempuh pelbagai dugaan sepanjang keluar memancing di laut seperti bot rosak dan hanyut selama dua jam di Pulau Payar.

“Ketika itu, kami tidak mampu berbuat apa-apa dan hanya berdoa kepada Tuhan, sebelum diselamatkan oleh sebuah bot nelayan.

“Pengalaman itu menjadi pengajaran kepada kami supaya sentiasa peka dengan keadaan cuaca sebelum turun ke laut agar tidak terperangkap di tengah lautan,” katanya.

Pak Su turut memaklumkan, setiap kali turut ke laut, mereka mampu memperoleh hasil tangkapan antara 30 hingga 90kg.

“Semua hasil tangkapan dibahagikan sama rata. Paling penting, semua gembira dengan cabaran yang ditempuhi semasa berada di laut,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI