PETALING JAYA – Meskipun sudah memenangi banyak anugerah, penyanyi terkenal Jaclyn Victor mengakui perasaan gemuruh sangat menebal dalam diri setiap kali menyertai pertandingan nyanyian.
Akuinya yang mesra disapa sebagai Jac, ramai yang menyangka dia berbohong tentang rasa gementar ketika membuat persembahan susulan sering berjaya memberikan yang terbaik kepada penonton.
“Orang cakap saya tipu tentang rasa gemuruh ini tetapi tidak sebenarnya.
“Ini bukan tabiat tetapi perasaan ini hadir secara semula jadi kerana terlalu banyak berfikir untuk memberikan persembahan terbaik kepada semua,” katanya.
Pelantun lagu Gemilang itu mengakui bahawa terlalu banyak berfikir tentang persembahan bukan satu perkara yang bagus untuk seorang penyanyi terutama yang menyertai sebuah pertandingan sepertinya.
“Ini satu hal yang tidak sihat sebenarnya namun apabila terlalu berfikir untuk memberikan yang terbaik, benda itu buat saya tertekan.
“Saya tidaklah terlalu tertekan dengan harapan peminat dan komen juri. Gemuruh masuk pertandingan ini memang lain macam, berbeza dengan persembahan lain.
“Orang selalu minta saya tenang tetapi cuba mereka berdiri di atas pentas itu, barulah tahu apa rasanya. Saya juga manusia biasa seperti orang lain,” ujarnya.
Jac berkata demikian ketika ditemui pada konsert mingguan Gegar Vaganza musim kesembilan (GV9) baru-baru ini.
Minggu lalu, Jac berjaya meraih kedudukan pertama pada konsert minggu kelima GV9 selepas mendapat markah tertinggi menerusi persembahan duet lagu Cinta bersama Aina Abdul.
Sejak menyertai GV9, Jac merupakan antara peserta yang disebut-sebut bakal merangkul gelaran juara untuk musim kali ini.- KOSMO! ONLINE