MELAKA – Melaka mencadangkan sekolah yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) bagi bencana banjir tidak dibuka sebagai pusat mengundi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi dan Telekomunikasi negeri Datuk Rais Yasin berkata, perkara itu telah dibincangkan bersama agensi terlibat pada baru-baru ini.
“Dalam mesyuarat tempoh hari memang kita bincang tentang itu, saya minta Jabatan Pendidikan Negeri Melaka (JPNM) untuk pastikan daripada pihak Kementerian Pendidikan, mana-mana sekolah yang terlibat menjadi PPS tidak dijadikan pusat pengundian.
“Bukan sahaja di Melaka kita yakin banyak lagi negeri-negeri lain kalau betul-betul banjir berlaku akan jadi masalah lebih besar kalau tempat itu dijadikan tempat mengundi dan PPS,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Isi Minyak Motosikal Percuma DUN Paya Rumput di Petronas Taman Rambai Utama, Bukit Rambai di sini, hari ini.
Tambahnya, dia bagaimanapun menyerahkan kepada pihak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menilai serta memutuskan perkara tersebut.
“Cadangan ini juga dibuat atas faktor saiz atau kapasiti sesebuah sekolah yang dijadikan PPS, sebagai contoh Sekolah Kebangsaan Krubong yang tidaklah begitu besar, jadi bagaimana ia hendak dijadikan tempat mengundi,” katanya. – KOSMO! ONLINE