PUTRAJAYA- Persatuan Kelab-Kelab Belia Malaysia (MAYC) mengulangi pendiriannya akan terus kekal menyokong mana-mana kerajaan tidak kira siapa bakal mentadbir negara selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kelak.
Bagaimanapun, Presiden MAYC Kebangsaan, Mohd. Al Hafizi Abu Bakar dalam nada berlapik memberi bayangan awal bahawa organisasi tersebut lebih cenderung kepada Barisan Nasional (BN).
Malah,secara berseloroh,beliau mengingatkan balik 47,366 ahlinya di seluruh negara agar tidak lupa penipuan janji dibuat kerajaan sebelum ini terhadap golongan belia.
“Macam isu pemansuhan pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memang tidak logik tetapi ramai anak muda terpedaya serta percaya,” katanya selepas menghadiri Persidangan Dewan Muda MAYC 2022 di sini tadi.
Mengulas lanjut, Mohd. Al Hafiz menyeru agar ahli-ahlinya tidak lagi mengundi parti yang suka berjanji kosong.
“Saya tahu ada ahli MAYC yang prokerajaan dan ada juga tidak, tetapi insya-Allah kami tetap bersama kerajaan meskipun kerajaan yang sebelum ini tidak selesa dengan kami,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE