fbpx

Kehilangan ayah ilham Farahdhiya cipta lagu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IDEA melodi lagu Tak Terganti muncul secara spontan ketika Farahdhiya berada di sebuah hotel.

PETALING JAYA – Kerinduan terhadap ayahanda tercinta mencetuskan ilham buat Farahdhiya untuk mendedikasikan lagu berjudul Tak Terganti yang dihasilkan penyanyi itu sendiri.

Katanya, sepanjang 18 tahun bergelar anak seni, inilah kali pertama dia menggubah sebuah karya sekali gus membuatkan lagu itu dirasakan cukup dekat di hati.

“Sebelum ini tak pernah terfikir untuk cipta lagu sendiri walaupun selalu ada yang bertanya. Saya tak buat sebab fikir lebih baik beri tanggungjawab itu kepada pakar.

“Cuma kali ini ilham datang tak dirancang kerana melodi itu muncul secara tiba-tiba, malah cukup indah apabila disantunkan dengan seni kata.

“Ramai sebenarnya yang selalu bertanya bila nak keluar lagu balada macam Bertakhta Di Hati itu. Jadi, ini adalah lagu pertama yang saya cipta sepanjang 18 tahun dalam industri ini. 

“Tak Terganti ini juga sangat sentimental kerana ini merupakan nukilan khas yang ditujukan buat ayah, Allahyarham Mohd. Amin Zubir yang meninggal dunia pada 2020,” katanya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun berikutan masalah Sekatan Pulmonari Kronik (COPD) iaitu penyakit paru-paru yang mempengaruhi pernafasannya.

Sementara itu, kata Farahdhiya, dia tidak nafikan Bertakhta Di Hati memberikan impak besar terhadap kerjaya nyanyiannya apabila kekal sebagai lagu ‘berhantu’ sehingga sekarang.

Biarpun sedar sukar menandingi kekuatan dendangan yang dilancarkan pada 2004 itu, Tak Terganti juga diyakini mampu memancing perhatian ramai.

Berkongsi lagi mengenai buah tangan terkini, kata pemilik nama sebenar Nur Farahdhiya Mohd. Amin itu, melodi dan lirik karya tersebut tercetus ketika berada di sebuah hotel.

Malah dia turut berdepan cabaran dalam pemilihan patah perkataan yang tepat untuk menggambarkan perasaan kehilangan yang dilaluinya itu.

“Melodi muncul ketika saya mandi di hotel tempat saya menginap. Waktu itu bunyi air yang kedengaran syahdu menyentak emosi dan saya terus menangis ketika mendendangkan melodinya.

“Walaupun belum ada lirik, melodi itu mengingatkan saya kepada arwah yang selama ini menjadi nadi kehidupan. Jadi setiap hari saya cuba mencari perkataan yang betul untuk lirik ini berdasarkan perasaan saya terhadap ayah. 

“Memang mustahil untuk saya rangkumkan semua rasa dalam satu lagu, tetapi segala yang saya zahirkan dalam Tak Terganti adalah memori terindah untuk dikenang selamanya.

“Hampir dua dekad dalam arena seni, boleh dikatakan lagu ini paling lama pernah dirakamkan sedangkan sebelum itu proses rakaman hanya satu hingga dua jam,” katanya.

Lebih membanggakan katanya, Tak Terganti terbitan Seventeen Eleven Music  turut dipilih untuk melatari slot Mega Drama Astro, Roti Cicah Susu. – KOSMO! ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI