LARUT – Orang ramai tidak perlu menjadikan isu Mossad sebagai bahan propaganda politik bagi mewujudkan naratif negatif kepada umum menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, orang ramai sebaliknya patut memuji tindakan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya menyelesaikan masalah itu tidak sampai 48 jam dan bukannya mempolitikkan isu berkenaan.
“Jadi, apa lagi yang harus kita persoalkan dalam isu ini rasanya tidak perlu ia dijadikan modal untuk dipolitikkan.
“Walaupun dikatakan suspek merupakan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR), pada saya ia bukan salah parti tetapi kesalahan itu adalah terletak kepada individu itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan Deepavali kepada kaum India di Dewan Terbuka Kampung Ulu Sepetang di sini hari ini.
Menurutnya, tidak ada parti yang tahu tentang peribadi ahlinya secara terperinci ketika mereka membuat permohonan keahlian parti.
“Ketika pendaftaran hanya tengok pada kad pengenalan sahaja, mana ada kita selidik satu persatu tentang keperibadian mereka ketika membuat permohonan.
“Jadi dalam isu yang dipolitikkan sekarang ini rasanya tidak kena sekiranya menyalahkan parti sedangkan itu adalah kesalahan individu,” katanya.
Menurut Hamzah, anggota risikan PDRM sentiasa bersiap sedia memantau pergerakan dan aktiviti Mossad di seluruh negara. – KOSMO! ONLINE