JAKARTA – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan (Komnas) Indonesia menafikan dakwaan bahawa ada rakaman litar televisyen tertutup (CCTV) yang dipadam dengan sengaja bagi menyembunyikan suspek di sebalik insiden rempuhan di Stadium Kanjuruhan, lapor laman berita Liputan6 semalam.
Menurut Pesuruhjaya Komnas, M. Choirul Anam, pihaknya masih menyiasat tragedi berdarah di Stadium Kanjuruhan yang mengorbankan 134 mangsa.
Berdasarkan hasil siasatan sementara, didapati tiada rakaman cctv yang dipadamkan seperti mana didakwa sesetengah pihak.
Ia disahkan selepas siasatan mendalam ke atas juruteknik bertugas pada hari kejadian dan Jabatan Belia dan Sukan (Dispora) Kabupaten Malang.
“Setakat ini, semua rakaman CCTV yang kami perlu disediakan dan tiada yang dipadamkan atau hilang dengan misteri,”
Walaupun tiada rakaman yang dipadamkan, Anam berkata terdapat masalah teknikal pada 16 titik CCTV yang menghala ke lokasi parkir yang dipanggil kosong atau tiada rakaman.
“Dikatakan memang ada masalah teknikal berkaitan kamera, ada pertukaran kamera sejak Jumaat oleh juruteknik tetapi tetapan CCTV belum selesai sehingga hari perlawanan,” jelasnya.
Anam mengakui maklumat mengenai masalah teknikal dalam tetapan CCTV diperoleh daripada kesan penukaran alamat IP yang telah dijelaskan oleh juruteknik Dispora. – Agensi