fbpx

Final Piala AFC: KL City tewas kepada Al Seeb 0-3

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Zhafri Yahya antara tunjang pasukan KL City meskipun tewas pada aksi final Piala AFC dengan kekalahan 0-3 kepada kelab Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi. - AMIR KHALID

KUALA LUMPUR – Harapan Kuala Lumpur City (KL City) untuk mencipta sejarah menjulang trofi Piala AFC buat kali pertama tidak kesampaian apabila tewas 0-3 kepada wakil Oman, Al Seeb pada aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.

Pada saingan berprestij Asia itu, skuad KL City kendalian Bojan Hodak membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan dua pemain import sensasi, Paulo Josue dan Romel Morales selain tonggak tempatan, Zhafri Yahya.

Skuad Warga Kota terlebih dahulu mencipta peluang terbaik menerusi Zhafri pada minit ke-18 tetapi percubaan yang dilakukan berjaya ditepis penjaga gol Al Seeb, Ahmed Faraj.

Tersentak dengan serangan tersebut, pasukan pelawat memperkemaskan jentera serangan dan meraih gol pembukaan menerusi sepakan penjuru yang dilakukan oleh Ali Sulaiman Al Busaidi pada minit ke-22.

Jaringan tersebut menyaksikan pemain KL City hilang keyakinan apabila kerap melakukan kesilapan selain hantaran yang dilakukan juga tidak menemui sasaran yang tepat.

Al Seeb menggandakan kelebihan menerusi tandukan Abdul Aziz pada minit ke-36 untuk memastikan penjaga gol tuan rumah, Kevin Ray Mendoza tewas buat kali kedua.

Bersambung pada separuh masa kedua, KL City sekali lagi bermula dengan rentak positif dengan Josue bijak merencanakan serangan awal ke kubu pasukan dari Asia Barat itu.

Namun, rembatan percuma yang dilakukan oleh Josue pada minit ke-55 mudah diselamatkan oleh Faraj.

Juara Piala Malaysia musim lepas itu terus mengasak untuk merapatkan kedudukan tetapi tandukan yang dilakukan Morales berjaya ditepis oleh Faraj.

Al Seeb akhirnya melebarkan jurang gol dengan meledak buat kali ketiga hasil percubaan yang dilakukan oleh Muhsen Al-Ghassani menerusi serangan balas pantas menarik pada minit ke-69.

Kedua-dua pasukan saling berbalas serangan ketika 20 minit terakhir perlawanan tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga wisel penamat ditiupkan.

Kelab Al Seeb berjaya mencipta sejarah menjadi pasukan dari Oman pertama menjuarai trofi Piala AFC dalam sejarah negara itu.

KL City pula gagal mengulangi ‘magis’ yang dilakukan oleh Johor Darul Ta’zim (JDT) yang menjadi kelab Malaysia dan Asia Tenggara pertama menang Piala AFC pada edisi 2015. – KOSMO! ONLINE

Kapsyen: Zhafri Yahya antara tunjang pasukan KL City meskipun tewas pada aksi final Piala AFC dengan kekalahan 0-3 kepada kelab Al Seeb di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI