SEPANG – Pelumba Perancis, Fabio Quartararo terpaksa menyembunyikan kekecewaannya apabila terpaksa berjuang sendirian menentang barisan pelumba Ducati ketika rakan sepasukannya, Franco Morbidelli terus bergelut dengan prestasi.
Ketika diminta mengulas persembahan rakan sepasukannya itu, Quartararo mengakui kekurangan bantuan Morbidelli bersaing di kelompok hadapan memudahkan Francesco Bagnaia (Ducati) terus mengutip mata.
Quartararo menegaskan, dia tidak tahu apa yang berlaku dengan Morbidelli kerana dia turut memberi bantuan kepada pelumba Itali itu dalam sesi latihan dan juga kelayakan.
Namun, tiada banyak dapat dilakukan Morbidelli menyebabkan Quartararo terpaksa berjuang sendirian menentang Ducati yang menurunkan enam jentera dalam kelas perdana tersebut.
“Pada akhirnya semua orang perlu berjuang untuk mengatasi pasukan Ducati. Sudah tentu, ia sukar apabila anda berada di hadapan. Saya tidak tahu apa yang berlaku dengan Morbidelli.
“Ia adalah soalan yang tidak dapat saya jawab. Ia sukar untuk diketahui. Dia membuat perubahan jentera dari Yamaha M1 2019 ke 2021.
“Anda perlu menunggang dengan cara berbeza, tetapi selepas setahun setengah ia masih belum berhasil.
“Sekarang saya berada di kedudukan di mana saya tak perlu memikirkan apa-apa. Hanya perlu cuba sebaik yang mungkin dengan mentaliti yang berbeza. Saya dapat merasakan tiada apa-apa yang merugikan saya ketika ini,” kata Quartararo.
Meskipun Ducati menurunkan enam jentera dalam kelas perdana itu, namun Quartararo masih mampu bertarung dengan pasukan yang berpangkalan di Itali tersebut apabila menaiki podium sebanyak tujuh kali termasuk tiga kemenangan.
Namun, kegagalan Quartararo menamatkan saingan di Australia minggu lalu membenarkan Bagnaia memimpin kedudukan pelumba MotoGP buat pertama kali dengan mengumpul 233 mata, 14 mata mengatasinya di tempat kedua.