LONDON – Chelsea mengharapkan benteng mereka mampu untuk terus bertahan dalam usaha melakar keputusan positif menjelang perlawanan getir menentang Manchester United pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada aksi di Stamford Bridge malam ini.
Sebagai rekod, Potter masih kekal dengan rekod tanpa kalah sejak membimbing Chelsea pada Ogos lepas dengan merekodkan empat kemenangan dan satu keputusan seri selain gawang mereka tidak dibolosi sejak tiga aksi terakhir.
Malah, Potter turut membuat keputusan drastik dengan meletakkan Kepa Arrizabalaga sebagai penjaga gol No. 1 pasukan untuk menggantikan Edouard Mendy yang bergelut dengan prestasi musim ini.
Kata Potter, kekuatan benteng pertahanan menjadi sandaran pasukan bagi mengekang ancaman yang boleh diberikan skuad The Red Devils kendalian Erik Ten Hag nanti.
“Saya sangat berpuas hati dengan benteng pasukan sejak beberapa perlawanan lepas apabila kita sudah kebal dan tidak mudah dibolosi. Arrizabalaga juga menunjukkan contoh yang baik dengan menyelamatkan banyak percubaan bahaya pasukan lawan.
“Justeru, saya harap situasi yang sama dapat dilakukan pada aksi bertemu United kerana kita tahu pasukan lawan memiliki jentera serangan berbahaya yang boleh menyukarkan pasukan nanti,” katanya.
Sementara itu, bekas pengendali Brighton itu juga memberi amaran hanya kesebelasan yang terbaik akan diturunkan dalam setiap perlawanan meskipun ada dalam kalangan pemain risau dengan kekurangan minit permainan menjelang kejohanan Piala Dunia 2022 bulan depan.
“Ada yang mengatakan Pulisic memerlukan minit permainan bagi persiapan ke Piala Dunia, tetapi saya boleh sahkan hanya yang bersedia dan cergas sepenuhnya akan diturunkan dan situasi ini diwajibkan buat semua pemain,” katanya. – AGENSI