MANCHESTER – Bintang tengah Manchester United, Bruno Fernandes sedia melakukan apa saja untuk memastikan pasukan mampu meraih kemenangan ke atas Chelsea di Stamford Bridge, malam ini.
Selepas menyumbang gol kedua ketika meraih kemenangan ke atas Tottenham Hotspur, Fernandes merasakan United ketika ini berada pada prestasi terbaik di bawah kendalian Erik Ten Hag.
Ketika aksi menentang Spurs, Fernandes menunjukkan permainan cukup luar biasa dengan memberikan tekanan tinggi dan mencipta beberapa gerakan menarik membantu jentera serangan pasukannya.
“Saya tidak suka untuk mengatakan bahawa saya adalah pemain utama, tetapi ketika berada dalam padang, saya selalu berkata bahawa saya perlu menjadi tonggak, terus bekerja keras dan pendekatan ini juga saya lakukan sejak zaman kanak-kanak.
“Dalam situasi tertentu, saya perlu lakukan kelainan untuk pastikan pasukan mampu tampil aksi terbaik. Saya sentiasa mahu mengorbankan diri saya untuk menjadikan rakan sepasukan mampu menunjukkan aksi terbaik mereka,” katanya.
Sejak mula menyertai The Red Devils pada Januari 2020, Fernandes menghadirkan impak segera dengan menghasilkan 26 gol dan 19 bantuan jaringan pada musim pertamanya sekaligus membina reputasi sebagai salah seorang pemain berpengaruh.
–AGENSI