LONDON – Jangka hayat Steven Gerrard sebagai pengurus Aston Villa berakhir apabila beliau dipecat selepas pasukan itu tewas 0-3 kepada Fulham pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Craven Cottage awal pagi semalam.
Legenda Liverpool itu sepatutnya sudah menjangkakan keputusan (dipecat) tersebut sebaik sahaja perlawanan tamat memandangkan Villa hanya mencatat dua kemenangan musim ini selain menghuni tangga ke-17 liga dengan sembilan mata.
“Kami berterima kasih kepada Steven (Gerrard) atas kerja kerasnya selama ini membimbing pasukan. Kami mengucapkan selamat maju jaya kepada beliau dalam kariernya selepas ini,” kata Villa menerusi satu kenyataan.
Walaupun menandatangani kontrak selama tiga tahun pada November tahun lalu, namun ia tidak bertahan lama buat Gerrard apabila ditunjuk jalan keluar selepas hanya mencatat 12 kemenangan dalam 38 perlawanan.
Selepas tamat perlawanan semalam, Gerrard mengakui kedudukannya sudah tidak selamat apabila mengatakan prestasi barisan pemainnya tidak mencapai standard yang dimahukan.
“Secara jujur, kami adalah pasukan kedua terbaik dalam perlawanan malam ini (semalam) dan saya fikir Villa sangat bertuah kerana tidak dibelasah di separuh masa pertama. Terima kasih kepada penjaga gol (Emiliano Martinez) yang beraksi cemerlang.
“Prestasi seperti ini jauh daripada sempurna. Secara peribadi, satu malam yang sangat sukar untuk saya. Kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku, tetapi saya faham situasi ketika ini,” katanya.
Beberapa nama mula disebut-sebut bakal mengambil alih kerusi panas yang ditinggalkan Gerrad itu termasuk bekas pengendali Tottenham Hotspur, Mauricio Pochettino serta bekas pengurus Chelsea, Thomas Tuchel. – AGENSI