SEPANG – Pelumba cilik negara, Hakim Danish Ramli memberi kelegaan kepada peminat-peminat sukan permotoran tempatan apabila disahkan cergas untuk berlumba pada perlumbaan 2 saingan Asia Talent Cup (ATC) esok.
Pada perlumbaan 1 yang berlangsung di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini, pelumba berusia 15 tahun itu gagal menamatkan saingan apabila terjatuh pada pusingan kelima ketika sedang mendahului perlumbaan.
Hasil insiden tersebut, Danish terpaksa diusung keluar oleh marsyal sebelum dibawa ke Pusat Perubatan SIC, namun dia mampu menarik nafas lega apabila dibenarkan untuk berlumba esok.
“Saya baru sahaja menjalani ujian perubatan dan mereka cakap saya boleh beraksi pada perlumbaan esok. Saya harap semua doakan saya untuk tampilkan tunggangan terbaik dalam perlumbaan itu.
“Pada perlumbaan tadi, saya cuba untuk berada di depan selain menjarakkan diri dengan pelumba-pelumba di belakang. Bagaimanapun, malang untuk saya apabila hilang kawalan dengan jentera,” katanya yang berada di tempat kedua dalam senarai kejuaraan ketika ini.
Selepas Danish terjatuh, pelumba Australia, Carter Thompson menggunakan kesempatan tersebut untuk menguasai perlumbaan dan menamatkan saingan sebagai pemenang, diikuti Rei Wakamatsu dari Jepun serta rakan sepasukannya, Gun Mie.
Insiden yang menimpa Danish sekali gus membuka ruang buat pencabar kejuaraan dari Jepun, Shinya Ezawa untuk memintas kedudukan Danish sebagai pendahulu dengan perbezaan enam mata selepas mengumpul 132 mata.
Justeru, perlumbaan 2 yang akan berlangsung esok dilihat menjadi peluang terbaik buat Danish bagi menebus kekecewaan, sekali gus kembali mendapatkan semula status pendahulu dalam senarai kejuaraan. – KOSMO! ONLINE.