PETALING JAYA – “Kalau dia bohong, dia akan terima akibatnya. Kalau dia betul, maka kita kena ikut benda betul”.
Itu maklum balas pendakwah yang juga pengacara, Ustaz Don Daniyal berhubung isu tular di media sosial berkaitan seorang lelaki berketurunan Arab yang didakwa cicit kepada Nabi Muhammad S.A.W.
Menerusi penjelasan beliau pada video dikongsikan seorang pengguna TikTok, Ustaz Don Daniyal turut menegur sikap segelintir umat Islam yang mengutuk, menghina selain mempersenda keluarga Nabi Muhammad S.A.W.
“Memang orang itu (individu didakwa cicit kepada Rasulullah) betul atau tidak daripada keluarga nabi, (tapi) perbincangan mesti kena tuntas dan menjaga hati nabi. Jangan berbincang dalam keadaan seolah-olah macam kawan itu salah.
“Kita menghinanya dengan menghina keturunan nabi. Keluarga kita pun, kita tidak mahu orang hina, ini pula keluarga nabi. Tak kisahlah kalau dia nak bohong, dia akan terima akibatnya,” tegasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, bersembang tentang keluarga nabi adalah dibolehkan, namun bukan dengan mengutuk, menghina dan mempersenda.
“Sedangkan nabi adalah satu-satunya syafaat yang ada untuk kita di akhir zaman.
“Kata ulama, ahli keluarga nabi umpama bahtera Nabi Nuh yang belayar di samudera hari ini. Siapa berpegang kepada ahli keluarga nabi, dia pasti selamat sebagaimana dia berpegang kepada bahtera Nabi Nuh,” jelasnya.
Sebelum ini Kosmo! melaporkan, lelaki didakwa cicit Nabi Muhammad S.A.W tersebut dikenali sebagai Sayyid Muhammad Amin Al Idrisi Al Hasani Al Maghrobi (Morocco).
Dikatakan Al-Idrisi Al-Maghoribi merupakan Keturunan Sayyid Idris yang bersambung pada Sayyidina Muhammad bin Hasan bin Ali bin Abi Thalib yang kini merupakan pemimpin Cabang Majlis Rasulullah di negara Maghribi.
Bagaimanapun, dakwaan tersebut menjadi perdebatan hangat netizen di media sosial berkenaan kesahihan keturunan Rasulullah itu. – KOSMO! ONLINE